AM > BERITA

Raja Muda Perlis Garis Lima Langkah Tarik Minat Generasi Z Sertai Kor SUKSIS

26/02/2025 08:47 PM

ARAU, 26 Feb (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggariskan lima langkah yang boleh diambil untuk menarik minat generasi Z menyertai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS).

Baginda bertitah lima langkah itu ialah sesuaikan program dengan nilai dan minat  generasi Z; aktiviti fizikal yang menarik; menerapkan unsur kreativiti dalam latihan; penglibatan langsung dengan masyarakat dan penglibatan dalam perancangan serta keputusan.

"Cabaran digital masa kini mencerminkan generasi yang pantas beradaptasi dan menginginkan hasil yang segera. Oleh itu, pendekatan yang lebih segar, inovatif dan selari dengan perkembangan semasa mampu menarik minat generasi ini untuk terus menyertai Kor SUKSIS serta memberi pengalaman yang bermakna buat mereka," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Seminar Memperkasakan Amalan Terbaik Kor SUKSIS Universiti Awam peringkat kebangsaan Edisi 2.0 di UniMAP di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim dan Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.

Baginda bertitah generasi Z merupakan bakal pemimpin masa hadapan dan merupakan aset negara yang penting khususnya dalam ekonomi digital dengan kemahiran teknologi yang tinggi, pemikiran kritis dan kreativiti yang luar biasa.

"Saya percaya dengan mengikuti langkah-langkah ini, Kor SUKSIS pasti menjadi lebih relevan kepada mereka dan dengan pendekatan inklusif dan fleksibel dapat mengimbangi generasi ini dari segi struktur dengan fleksibiliti, disiplin dengan empati dan tradisi dengan kemodenan," titah baginda.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan