AM > BERITA

Jangan Malu Dapatkan Rawatan Kesuburan, Bantu Tambah Populasi Kelahiran - Nancy

26/02/2025 09:27 PM

KEPALA BATAS, 26 Feb (Bernama) -- Pasangan suami isteri diseru agar mengetepikan perasaan malu untuk tampil mendapatkan rawatan kesuburan kerana perasaan itu hanya akan menyukarkan ikhtiar mereka menimang cahaya mata. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata mereka digalakkan mendapatkan rawatan supaya tahap kesuburan dapat ditingkatkan seterusnya membantu menambah populasi kadar kelahiran di negara ini.

“Stigma masyarakat sering mengaitkan masalah kesuburan dan susah nak mengandung dengan wanita sedangkan sebenarnya lelaki juga boleh menjadi punca pasangan sukar mendapat zuriat.

“Maka pasangan yang menghadapi masalah kesuburan tidak perlu malu untuk tampil mendapatkan rawatan,” katanya selepas melancarkan Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.

Beliau memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan RM6 juta melalui Belanjawan 2025 bagi membiayai dua kitaran rawatan kesuburan permanian beradas (IUI) kepada 1,300 pasangan yang layak secara percuma dan kempen advokasi infertiliti.

Nancy berkata kerajaan berharap agar kemudahan dan subsidi rawatan kesuburan melalui Program BuAl itu dapat membantu lebih ramai pasangan merealisasikan impian mereka untuk membina keluarga.

Beliau berkata inisiatif tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan akses dan kemudahan kepada pasangan berpendapatan isi rumah kurang RM10,000 dan tidak pernah mendapat sebarang bantuan kewangan daripada mana-mana agensi untuk menjalani rawatan tersebut.

Pada program tersebut, Nancy turut mengumumkan kehamilan pertama melalui Program BuAI yang direkodkan pada 18 Feb lepas sekali gus membuktikan program tersebut mampu memberikan sokongan diperlukan kepada pasangan yang menghadapi masalah kesuburan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan