AM > BERITA

RUU MMM 2024 Lulus, Dua RUU Dibentang Lakar Sejarah Di Dewan Rakyat

28/02/2025 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Sejarah tercipta pada minggu keempat persidangan Dewan Rakyat apabila Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 diluluskan serta RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama.

RUU MMM 2024 simbol pencapaian penting dalam industri media Malaysia selepas lebih 50 tahun penubuhannya dibincangkan, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching ketika membentangkan RUU itu berkata cadangan penubuhan satu jawatankuasa atau organisasi bagi menyelaraskan urus tadbir industri media di Malaysia telah dicetuskan sejak 1973.

Melalui penubuhan MMM juga, beliau berkata kerajaan yakin ruang semak dan imbang boleh dilaksanakan pemain industri media sendiri bagi meningkatkan amalan integriti serta pematuhan etika.

Sementara itu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 ialah usaha bagi memartabatkan institusi Parlimen, serta langkah utama dalam memperkenalkan reformasi institusi yang komprehensif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata melalui agenda reformasi institusi yang direncanakan Kerajaan MADANI itu, Perkhidmatan Parlimen akan mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia.

Azalina membentangkan kedua-dua RUU berkenaan Isnin lepas, dan bacaan kali kedua dijangka dilakukan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Mac.

Selain itu, Dewan Rakyat meluluskan RUU BERNAMA (Pindaan) 2024 bagi menjadikan industri media lebih inklusif serta memastikan komposisi baharu yang lebih dinamik sejajar perkembangan dan keperluan semasa industri media.

Pindaan terhadap Akta BERNAMA 1967 (Akta 780) yang kali pertama dibuat sejak akta itu digubal pada 1967, melibatkan Seksyen 2 bagi memasukkan satu tafsiran baharu “organisasi media” yang merangkumi bukan sahaja media cetak (surat khabar dan apa-apa medium percetakan) tetapi turut meliputi komunikasi massa iaitu media elektronik dan digital, seiring dengan ledakan teknologi dan digital masa kini.

Ketika membentangkan bacaan kali kedua, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pindaan berkenaan turut mempertingkatkan ekosistem digital selaras kerangka Malaysia MADANI dengan mengoptimumkan penggunaan media digital seiring media konvensional lain bagi membawa keseimbangan antara kedua-dua jenis media.

Turut diluluskan, usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 bagi meneliti segala isu melibatkan ketirisan, ketidakpatuhan kepada peraturan dan syarat serta kelemahan dalam perancangan supaya tidak berulang pada masa depan.

Selain itu, Dewan Rakyat membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 untuk mengadakan peruntukan pengeluaran sejumlah wang tidak melebihi RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan 2024.

RUU Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 bagi meminda Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) juga dibentangkan, dengan cadangan pindaan untuk memasukkan Seksyen baharu 50A  berkaitan penyamaran sebagai Pegawai Bomba, Pegawai Bomba Bantuan, dan Pegawai Bomba Sukarela.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 yang bermula 3 Feb lepas akan melabuhkan tirai pada 6 Mac ini selepas bersidang 18 hari.

Menurut takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat seterusnya dijadual berlangsung dari 23 Jun hingga 31 Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan