AM > BERITA

PM Anwar Beri Bantuan Kepada 166 Penerima Di DUN Beserah, Semambu

28/02/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) --  Sebanyak 166 orang dalam kategori miskin tegar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah dan DUN Semambu, Pahang menerima bantuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

“Baru-baru ini, di Parlimen Indera Mahkota, saya menyaksikan sendiri bagaimana satu amanah dapat diterjemahkan menjadi perubahan yang nyata.

“Bukan sekadar menyerahkan bantuan, tetapi menyaksikan kejayaan mereka yang sebelum ini berada dalam kelompok miskin tegar, kini berjaya keluar daripada belenggu tersebut.

“Saya hadir menyantuni masyarakat setempat dalam kategori miskin tegar di sekitar Parlimen Indera Mahkota,” kata Ahmad Farhan menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini yang turut dikongsikan Perdana Menteri.

Ahmad Farhan berkata kejayaan mengeluarkan rakyat daripada kelompok miskin tegar adalah hasil usaha bersepadu dengan sokongan berterusan kerajaan serta bantuan daripada Zakat Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang menjadi benteng kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata bagi sesetengah orang, bantuan berkenaan mungkin kelihatan biasa tetapi bagi yang setiap hari bergelut dengan cabaran hidup, ia adalah titik perubahan.

“Dengan sedikit ruang kewangan, ada yang mampu melangsaikan keperluan asas, membeli keperluan sekolah anak-anak, malah merancang masa depan dengan lebih yakin.

“Saya berharap bantuan ini menjadi langkah awal buat mereka membina kehidupan yang lebih baik. Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memastikan tiada siapa yang tercicir, kerana setiap rakyat berhak menikmati kemajuan bersama,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan