AM > BERITA

FAMA Galak Usahawan Bazar Ramadan Sumbang Makanan Kepada Golongan Memerlukan

01/03/2025 03:06 PM

KUCHING, 1 Mac (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak menggalakkan usahawan yang berniaga di bazar Ramadan anjuran FAMA untuk memberi sumbangan makanan kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Pengarah FAMA Sarawak Norsalawaty Abdul Kadir berkata inisiatif berkenaan sekali gus dapat mengelakkan pembaziran makanan.

“Mengikut rekod terdahulu, bazar Ramadan yang kita anjurkan boleh dikategorikan sebagai pengurusan sifar sisa, maknanya jualan habis.

“Jadi, kita menggalakkan usahawan di bazar ini untuk sediakan tempat khas bagi memberi sumbangan kepada mereka yang tidak bernasib baik … FAMA Sarawak juga akan adakan pelbagai program lebihan jualan makanan,” katanya kepada pemberita semasa merasmikan tapak bazar itu baru-baru ini.

Beliau berkata FAMA negeri menganjurkan bazar Ramadan di dua lokasi di Sarawak, iaitu Medan Niaga Satok dan Pasar Tani Permai Sibu dengan sasaran nilai jualan RM2.5 juta dan 80,000 pengunjung. 

Bertemakan "Mensia Marek" yang bermaksud dahulu kala, terdapat 72 lot bazar di Medan Niaga Satok dengan tiada pertindihan jenis makanan. 

“Kelainan tahun ini kita mengangkat konsep tradisional dengan memperkenalkan makanan seperti sotong tutok, kuih bongkol dan banyak lagi … pengunjung juga berpeluang membeli barangan basah yang dijual di pasar ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan