AM > BERITA

Main Bedil, Teter Beduk Bakal Meriahkan Program "Lan Berambeh Sungkei 2025" Di Sibu

01/03/2025 04:44 PM

SIBU, 1 Mac (Bernama) -- Dua acara tradisional yang mencerminkan identiti masyarakat Melayu Sarawak iaitu main bedil dan teter beduk bakal menjadi antara acara utama dalam program "Lan Berambeh Sungkei 2025 Bahagian Sibu" yang dijadual berlangsung pada 15 Mac di Dataran Tun Tuanku Bujang.

Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata kedua-dua acara itu yang dahulunya popular pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri akan dipertandingkan bagi menghidupkan semula tradisi turun-temurun.

“Main bedil adalah permainan tradisional menggunakan meriam buluh dan minyak tanah yang dimainkan secara berkumpulan. Peserta akan bersaing untuk menghasilkan bunyi paling kuat atau mencipta letupan terbanyak dalam satu sesi.

“Sementara itu, teter beduk atau paluan beduk merupakan budaya tradisi yang diwarisi sejak dahulu,” katanya dalam sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu hari ini.

Beliau berkata penganjuran acara oleh Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sibu dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN N55 Nangka bertujuan memperkenalkan warisan budaya Melayu Sarawak kepada generasi muda agar tidak dilupakan. 

Mohamad Porkan yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata program itu yang memasuki edisi ketujuh sejak diperkenalkan pada 2017, dijangka menarik lebih 20,000 peserta.

“Program itu bermaksud ‘jom iftar bersama’ dalam bahasa Melayu Sarawak dan telah mendapat sambutan hangat setiap tahun kecuali pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19. Tahun lepas, program ini berjaya menarik 15,000 peserta,” katanya.

Beliau berkata konsep program itu adalah ‘potluck’ (juadah bawaan), para pengunjung digalakkan membawa juadah masing-masing untuk dikongsi bersama, selari dengan tradisi turun-temurun masyarakat setempat.

Semua peserta dan pengunjung juga digalakkan untuk mengenakan busana tradisional selaras dengan tema yang ditetapkan tahun ini. 

Selain bertujuan menarik kedatangan pelawat dari luar daerah dan negeri, program itu turut mempromosikan toleransi dan perpaduan dalam kalangan warga Sarawak.

Program berkenaan turut akan menyaksikan pengagihan sumbangan daripada agensi dan jabatan kerajaan dalam bentuk juadah berbuka puasa seperti bubur pedas, bubur lambuk, kurma, mi kolok, dan nasi ayam.

Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee dijangka menghadiri program berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan