AM > BERITA

Kerajaan Laksana Pelbagai Inisiatif, Strategi Tingkat Akses Pekerjaan Golongan OKU

03/03/2025 12:28 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jawatankuasa Pekerjaan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) melaksanakan pelbagai inisiatif dan strategi dalam usaha meningkatkan akses pekerjaan bagi golongan OKU. 

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata bagi tempoh 2020 hingga 31 Dis 2024, sebanyak 70,566 pencari kerja dalam kalangan OKU termasuk peserta program Return To Work (RTW) telah berjaya mendapat pekerjaan. 

“Program RTW merupakan program pengurusan hilang upaya untuk membantu pencarum yang cedera atau menghidap penyakit untuk dipulihkan dan kembali semula bekerja lebih awal, sihat serta selamat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu strategi untuk membantu OKU mendapatkan akses kepada pekerjaan yang sewajarnya memandangkan masih kurang kesedaran, kesediaan dan keyakinan majikan untuk mengambil pekerja OKU.

Selain itu, Abdul Rahman berkata setakat Disember tahun lepas, sebanyak 1,915 OKU menyertai program pembangunan Person with Disbilities (PwD), yang merupakan satu inisiatif di bawah Program Latihan MADANI untuk memperkasakan OKU dengan kemahiran latihan asas melalui pelbagai kursus.

“Di samping itu, KESUMA menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah memberikan pentauliahan kepada 1,582 pusat bertauliah di seluruh Malaysia, dengan 922 daripada pusat ini telah menerima pelatih OKU untuk mengikuti latihan kemahiran,” katanya. 

Beliau berkata KESUMA menerusi Jabatan Tenaga Manusia (JTM) juga telah melatih pelajar OKU di  Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) dan menyediakan elaun sebanyak RM300 sebulan serta pengecualian yuran pengajian.

“Dalam tempoh tahun 2020 hingga 2024, sejumlah 245 orang pelajar OKU pelbagai kategori telah dilatih di ILJTM dalam bidang teknologi reka bentuk grafik, teknologi elektronik dan teknologi mekatron,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan