KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Hasil analisis data Banci Pertanian 2024 akan digunakan untuk penerbitan statistik pertanian secara berkala serta merangka, memantau dan menilai program bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata ini termasuk pengemaskinian indikator pertanian dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pertanian, serta pembangunan Indeks Harga Input Pertanian dan Indikator Keterjaminan Makanan Negara.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin bahawa pengumpulan dan analisis data terkini serta komprehensif memainkan peranan penting dalam perancangan dan pelaksanaan inisiatif lebih tersusun dan efektif.
“Penggunaan data yang tepat dan relevan membolehkan sumber terhad diagihkan secara cekap dan berkesan sekali gus meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai status terkini analisis data Banci Pertanian 2024 dan bagaimana hasil bancian akan digunakan untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Banci Pertanian 2024 dilancarkan pada 4 Julai tahun lepas, bagi membangunkan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu (MySAgR) dan boleh diintegrasikan dengan data pentadbiran daripada kementerian serta agensi berkaitan, bagi menghasilkan pangkalan data lebih komprehensif dan bersepadu.
Arthur berkata status terkini analisis data Banci Pertanian 2024 adalah pada peringkat pemuktamadan dapatan awalan banci.
Pada masa yang sama, beliau berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama KPKM, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan agensi negeri serta daerah sedang giat melaksanakan analisis data bagi tujuan pengesahan dan pengabsahan data.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial