AM > BERITA

Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to15 Pastikan TLDM Kekal Kredibiliti

03/03/2025 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Strategi kerajaan dalam meningkatkan kesiapsiagaan dan perolehan aset baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menggantikan aset yang usang diterjemahkan melalui pelaksanaan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata program itu mengambil kira jurang keupayaan TLDM, pemodenan, peningkatan keupayaan aset serta cabaran kewangan negara sebagai usaha untuk mengembalikan TLDM sebagai angkatan laut yang berkredibiliti.

Beliau berkata pelan transformasi itu juga telah diselaraskan dengan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti yang telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP), Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 dan Pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH).

“Pembangunan keupayaan yang dilaksanakan TLDM berlandaskan enam ciri AMH iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, berorientasikan misi, kecekapan logistik dan berupaya untuk beroperasi di dua wilayah.

“Dalam pelan ini, TLDM telah merencana beberapa perolehan aset penting melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) hingga menjangkau Rancangan Malaysia ke-15 (RMK15). Antara aset yang sedang dalam pembinaan adalah kapal Littoral Combat Ship (LCS) dan Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Nelson W Angang yang ingin tahu strategi kerajaan dalam meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan, termasuk perolehan aset baharu TLDM bagi menggantikan aset yang usang.

Selain itu, Adly berkata terdapat beberapa aset baharu telah dirancang untuk perolehan melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) iaitu Multi-Role Support Ship (MRSS), Littoral Mission Ship Batch 3 (LMSB3), helikopter Anti Submarine Warfare (ASW) dan helikopter operasi maritim (HOM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan