AM > BERITA

CAAM Bakal Lancar Peraturan, Sistem Pengurusan Trafik UAS Baharu Suku Keempat 2025

03/03/2025 08:15 PM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengeluarkan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (CAR) baharu bagi operasi Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) menjelang suku keempat tahun ini.

Peraturan baharu itu menandakan satu langkah besar dalam usaha negara menangani peningkatan permintaan bagi teknologi dan industri UAS yang semakin pesat membangun.

Pada masa ini, operasi UAS dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (CAR 2016) khususnya Peraturan 140 hingga 144.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam kenyataan hari ini berkata CAR baharu untuk Operasi Pesawat Tanpa Pemandu itu akan menyediakan panduan dan tadbir urus yang dipertingkat selaras dengan amalan terbaik global di samping mewujudkan ekosistem UAS yang selamat, progresif dan mampan.

“Rangka kerja kawal selia baharu ini akan lebih berkesan selaras dengan pertumbuhan semasa dan keperluan operasi teknologi UAS sekali gus memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam penyepaduan dan pembangunan UAS,” katanya.

Norazman berkata selain pembangunan rangka kerja kawal selia baharu, CAAM juga sedang menyemak dan memperkemas yuran dan caj yang berkaitan untuk mencerminkan perubahan dalam peraturan yang dikemas kini bagi memastikan ia memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.

Selaras dengan peraturan yang dikemas kini katanya CAAM juga sedang memperkenalkan Sistem Pengurusan Trafik UAS (UAS-TMS) canggih bertujuan menambah baik pendaftaran, permohonan dan pemantauan operasi UAS di seluruh negara serta mengurangkan masa pemprosesan untuk pemohon.

Dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku keempat 2025, UAS-TMS akan menawarkan kecekapan, keselamatan dan pengawasan yang lebih tinggi dalam aktiviti UAS, yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pengendali dan industri UAS.

Beliau berkata CAAM bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) untuk menyelaraskan proses pendaftaran dan permohonan yang diperlukan dalam sistem baharu itu.

“CAAM berbangga kerana telah bekerjasama dengan pakar industri untuk membangunkan rangka kerja kawal selia yang menjamin inovasi di samping mengekalkan keselamatan dan pematuhan. 

"Saya menggalakkan pemain industri dan pihak berkepentingan untuk terus terlibat bersama CAAM sambil kami menuju ke arah melaksanakan pengemaskinian penting ini," katanya sambil menambah bahawa CAAM terus berdedikasi untuk menyokong pertumbuhan industri UAS dengan menyediakan persekitaran kawal selia yang memudahkan di samping mengimbangi inovasi dan keselamatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan