SEREMBAN, 4 Mac (Bernama) -- Keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) memohon moratorium kepada tempoh interim pelaksanaan waktu bekerja selama 45 jam membabitkan golongan jururawat seliaannya disifatkan tempoh sesuai untuk semua pihak memberi pandangan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat berkata pihaknya yakin kerajaan akan menangani perkara itu dengan baik, sekali gus memastikan sistem penyampaian kesihatan kepada rakyat tidak terjejas.
“Cuepacs juga akan memberi pandangan kepada kerajaan pada waktu terdekat berhubung perkara yang dibangkitkan semua pihak, kita berpandangan isu ini perlu ditangani segera kerana dikhuatiri boleh beri kesan kepada pelaksanaan sistem kesihatan (jika tidak ditangani sebaiknya).
“Jadi, tempoh itu (penangguhan) mampu melegakan keadaan dan ruang memberi pandangan serta cadangan dan mencapai keputusan menang-menang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bulan Wakaf Negeri Sembilan yang disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir di sini hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata permohonan itu mengambil kira Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah meluluskan tempoh interim bagi persediaan pelaksanaan pendekatan berkenaan antara 1 Dis hingga 28 Feb lepas.
Beliau berkata sepanjang tempoh interim berkenaan, KKM melaksanakan sesi libat urus dan dialog awam mengikut zon di seluruh negara.
Dalam pada itu, Adnan berkata pihaknya mengambil maklum berhubung keputusan sejumlah jururawat beralih dan memilih untuk meninggalkan perkhidmatan dengan KKM.
“Kita ada terima maklum balas itu, ia kesan daripada waktu kerja berganda dan sebagainya, ia sedang diteliti supaya kesan pemberhentian ini tidak akan beri kesan kepada tahap penyampaian kesihatan kepada rakyat,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang dilaporkan berkata 1,754 jururawat beralih dan memilih untuk meninggalkan KKM sepanjang lima tahun lepas, dengan 27.98 peratus daripadanya atas faktor masalah peribadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial