AM > BERITA

Kebajikan Peniaga Kecil Diutamakan, Tapi Jangan Amibil Kesempatan Berniaga Tanpa Lesen - Menteri

05/03/2025 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan peniaga kecil, namun tidak bermakna mereka boleh mengambil kesempatan dengan berniaga secara haram di bazar Ramadan sekitar ibu kota, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

“Mereka perlu mematuhi kepada apa yang kita telah gariskan. Maknanya nak membuka Bazar Ramadan perlu ada lesen, perlu mematuhi syarat-syarat yang DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) kenakan.

“Sebanyak 42 lokasi kita wartakan, mereka boleh sebenarnya daripada awal lagi untuk memohon lesen. Jadi, kalau kita dah bagi masa untuk mereka laksanakan tapi mereka tak buat, ini satu yang mengecewakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan dan Aidilfitri DBKL 2025, di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Zaliha mengulas mengenai video tular di media sosial yang menunjukkan penguat kuasa DBKL merampas barangan peniaga bazar Ramadan di Taman Wilayah Selayang dan Majid Jamek kerana berniaga di kawasan tanpa kebenaran, menghalang laluan pejalan kaki dan beroperasi tanpa lesen.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata pematuhan peniaga di bazar Ramadan di bawah pengurusan DBKL setakat ini berada pada tahap yang baik, tanpa sebarang insiden yang tidak diingini dilaporkan.

Tahun ini, DBKL bekerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad menganjurkan bazar Ramadan dan Aidilfitri di 42 lokasi sekitar Kuala Lumpur, bermula 2 hingga 30 Mac.

Bagi membantu peniaga, DBKL telah menetapkan kadar sewa yang berpatutan sebanyak RM500, manakala Bank Muamalat turut menyumbang dengan menaja keperluan perniagaan seperti khemah bersaiz 8’x8’, apron dan topi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan