AM > BERITA

Bengkel Penilaian Kukuhkan Usaha Sarawak Delta Geopark Dapatkan Pengiktirafan UNESCO

06/03/2025 02:57 PM

KUCHING, 6 Mac (Bernama) -- Sarawak Delta Geopark (SDGp) terus memperkukuh usaha ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) dengan penganjuran bengkel penilaian kendiri yang diadakan di sini pada 4 hingga 6 Mac.

Jabatan Hutan Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa bengkel itu adalah langkah penting bagi memastikan semua kriteria yang ditetapkan oleh UNESCO dipenuhi sebagai persediaan menghadapi penilaian rasmi.

“Bengkel ini menghimpunkan agensi di bawah tadbir urus SDGp bersama penasihat SDGp bagi menilai status semasa SDGp dan mengenal pasti aspek yang perlu diperkukuh bagi memenuhi piawaian UNESCO.

“Antara aspek utama yang diberi tumpuan termasuk pemuliharaan geologi, kelestarian alam sekitar, pemerkasaan komuniti, pembangunan ekonomi lestari serta promosi dan pendidikan berkaitan geopark,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata penyelarasan berterusan antara semua pihak berkepentingan penting dalam memastikan kejayaan Sarawak Delta Geopark mencapai status global.

“Kejayaan memperoleh status UNESCO Global Geopark bukan sahaja akan meningkatkan profil Sarawak sebagai destinasi geopelancongan bertaraf dunia, malah turut memberikan manfaat ekonomi dan sosial kepada komuniti setempat,” katanya menerusi kenyataan sama.

Pada 7 Okt tahun lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata beliau menyasarkan SDGp diangkat sebagai UGGp menjelang 2026.

Abang Johari berkata ketika ini, pihaknya sedang berusaha memenuhi kriteria ditetapkan bagi mendapat kelulusan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan