AM > BERITA

Ibu Eda Ezrin Bersyukur Anak Bebas Tuduhan Dadah

06/03/2025 05:32 PM

Daripada Muhammad Afiq Mohd Asri

NARATHIWAT, 6 Mac (Bernama) -- Ibu kepada penyanyi dikir barat Malaysia Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau lebih dikenali Eda Ezrin, iaitu Zaharah Mamat, 47, melahirkan rasa syukur atas keputusan Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan anaknya bersama lima individu lain daripada tuduhan memiliki dadah.

“Syukur Alhamdulillah, doa kami akhirnya dimakbulkan. Saya harap ini menjadi pengajaran buat mereka,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini hari ini.

Zaharah berkata dia dan keluarganya memang yakin Eda Ezrin tidak melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang itu, dan akan dibebaskan.

“Kami sangat gembira dan bersyukur. Saya yakin anak saya tidak bersalah. Dia seorang anak yang baik dan tidak pernah terlibat dalam perkara yang melanggar undang-undang,” katanya.

Zaharah berkata Eda Ezrin, anak sulung daripada empat beradik itu sentiasa membantu keluarga.

“Kami sekeluarga akhirnya boleh tidur lena selepas ini. Setiap minggu, kami datang melawatnya di penjara dan membawakan makanan seperti nasi ayam,” katanya.

Bagi Zaharah, detik ini adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan dan menjadi pengalaman berharga bagi keluarganya.

Media sebelum ini melaporkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi dikir barat wanita popular Malaysia ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di pekan Golok pada 1 Nov tahun lepas kerana didakwa memiliki lebih 6,000 biji pil kuda.

Bagaimanapun, hari ini Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan penyanyi dikir barat yang popular dengan lagu Bea Sobar Bea itu, bersama suaminya serta empat lagi individu daripada pertuduhan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan