KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berhasrat meneruskan persengketaan dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim atas semangat bulan Ramadan, selepas penarikan semula kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata memaafkan itu tidak sama sekali merendahkan darjat manusia, bahkan mengangkat kedudukan hamba di sisi Tuhannya.
“Amalan berpuasa mesti menjentik dhamir (diri) manusia agar kembali kepada fitrah asal kejadian termasuk menghidupkan budaya wacana yang segar dan menolak amalan fitnah memfitnah,” katanya
Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Tunku Nashrul berkata bulan Ramadan mengajar umat Islam agar tidak mudah melempar sesuatu tuduhan kepada insan yang lain.
Beliau berkata perkara itu bukan sahaja menimbulkan fitnah kepada yang tertuduh, malah turut mengembalikan fitnah kepada si penuduh.
“Amalan jelek sebegini mesti dihentikan dan tidak dibudayakan, terutamanya dalam kalangan pejuang-pejuang Islam,” katanya.
Kes saman difailkan Perdana Menteri terhadap Ahmad Amzad selesai secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam, selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian di luar mahkamah dan bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan awam.
Saman itu berhubung dakwaan kenyataan berbaur fitnah bahawa Anwar berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.
Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Anwar berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan pertikaian setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah serta kos perundangan yang bakal ditanggung oleh mereka, memandangkan terdapat banyak isu lebih besar atau penting perlu diberikan perhatian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial