AM > BERITA

Mangsa Banjir Di Melaka Meningkat Kepada 330 Orang Pagi Jumaat

07/03/2025 09:59 AM

MELAKA, 7 Mac (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 330 orang daripada 93 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 248 orang daripada 77 keluarga pada 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata kesemua mereka melibatkan penduduk yang terjejas di dua daerah, iaitu Melaka Tengah serta Jasin dengan mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS).

"Sebanyak 264 mangsa merupakan penduduk di daerah Jasin manakala 66 mangsa pula ialah penduduk di Melaka Tengah.

"Di Jasin, sebanyak 152 mangsa daripada 45 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum manakala 107 mangsa daripada 31 keluarga berlindung di PPS SMK Dato' Abdul Rahman dan lima mangsa daripada dua keluarga pula berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata di daerah Melaka Tengah pula, sebanyak 23 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Malim manakala 43 mangsa daripada 10 keluarga di SK Seri Duyong.

Secara keseluruhan katanya, semua mangsa terjejas melibatkan 37 kawasan dengan 32 lokasi adalah di Melaka Tengah manakala lima lokasi lagi di daerah Jasin.

Kamarulsyah berkata antara kawasan terjejas di Melaka Tengah ialah Kampung Pengkalan Rama, Kampung Chetty, Kampung Limbongan, Bakar Batu, Kampung Banda Hilir dan Kampung Klebang Kecil.

Turut dinaiki air ialah di Taman Malim Permai, Taman Rambai Jaya, Taman Gadong Perdana, Kampung Pengkalan Renggam, Kandang, Ayer Molek, Paya Dalam dan Kampung Pokok Manggis Pulau Gadong.

Di Jasin pula, kawasan terjejas ialah Kampung Kilang Berapi Utara, Kampung Kilang Berapi Barat, Kampung Merlimau Pasir, Kampung Asam Kumbang dan Batu Gajah.

Banjir di dua daerah itu berlaku ekoran hujan lebat berterusan lebih satu jam bermula pada 11 malam, Rabu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan