Daripada R. Ratcharathan
CHENNAI, 7 Mac (Bernama) -- Chennai, Tamil Nadu dan Pulau Pinang menyatakan komitmen untuk mempertingkatkan pelancongan dan pertukaran budaya, di samping memperkukuh hubungan serantau serta membuka peluang ekonomi menerusi peningkatan ketersambungan antara Chennai-Pulau Pinang.
Menteri Pelancongan Tamil Nadu R.Rajendran menekankan hubungan budaya yang kukuh antara India dan Malaysia, khususnya Tamil Nadu dan Pulau Pinang, dengan merujuk kepada hubungan sejarah yang mendalam selama lebih 300 tahun.
“Kita mempunyai ikatan yang terjalin selama 300 hingga 400 tahun, ramai orang Tamil Nadu telah bekerja di Malaysia termasuk di Pulau Pinang, dengan segelintir daripada mereka digelar 'pulang dari Pulau Pinang' apabila kembali ke India.
“Bagi pihak Ketua Menteri Tamil Nadu (M. K. Stalin), saya mengalu-alukan rakyat Malaysia khususnya penduduk Pulau Pinang untuk mengunjungi Tamil Nadu termasuk Chennai bagi memajukan sektor pelancongan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) Wong Yuee Harng dan Ketua Pegawai Eksekutif PCEB Ashwin Gunasekaran di Pejabat Perbadanan Pembangunan Pelancongan Tamil Nadu (TTDC) di sini.
Kunjungan hormat itu diadakan sempena FAM Trip ke Chennai oleh PCEB bersama wakil 11 media dari Pulau Pinang mulai 3 hingga 6 Mac.
Setiausaha Utama Pelancongan, Kebudayaan dan Amanah Agama serta Pengerusi TTDC Dr Chandra Mohan berkata Tamil Nadu dan Pulau Pinang mempunyai sejarah yang panjang bermula sejak abad ke-18 apabila pemerintah de facto Sivagangai, Maruthu Pandiyars (Periya Maruthu dan Chinna Maruthu) berjuang menentang Syarikat Hindia Timur di India.
Beliau berkongsikan satu kisah sejarah yang menyentuh hati mengenai anak lelaki Chinna Maruthu, M. Doraisamy, yang diusir ke Pulau Pinang selepas kekalahan kepada pihak British, dan komander British yang sama telah dipindahkan ke Pulau Pinang selepas beberapa tahun.
“Suatu hari, seorang lelaki yang sangat tua pergi untuk bertemu dengan pihak British. Lelaki itu bertanya sama ada Komander British itu mengingatinya. Komander itu menjawab, ‘Saya tidak dapat mengenali anda,’ lalu lelaki itu berkata, ‘Saya anak Chinnamardu,’ dan air mata komander itu mengalir.
“Kisah ini terdapat dalam rekod British. Ini satu daripada momen yang menyentuh hati dalam hubungan kami, selain hubungan perniagaan, kami mempunyai kaitan antara perjuangan kemerdekaan Tamil Nadu dan rakyat Pulau Pinang,” katanya.
Beliau turut memuji inisiatif laluan penerbangan terus Chennai-Pulau Pinang yang dilancarkan IndiGo Airlines pada 21 Dis lepas, sekali gus menyifatkan ia mampu merangsang pelancongan dan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak.
Sementara itu, Wong berkata Pulau Pinang dan Tamil Nadu berkongsi ikatan unik yang dibentuk oleh sejarah, budaya, dan warisan bersama dengan bandar di Pulau Pinang, mencerminkan hubungan berkenaan bukan sahaja melalui perayaan yang meriah seperti Deepavali dan Thaipusam, tetapi juga menerusi makanan tradisi India Selatan dan pengaruh seni bina.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kota itu berkata dari ‘Little India’ di Pulau Pinang hingga ke kuil-kuil megah dan bangunan era kolonial yang mencerminkan warisan seni bina Tamil Nadu, pengunjung dari Chennai akan merasakan satu ikatan yang mendalam dan keakraban di Pulau Pinang.
Beliau berkata kerjasama penerbangan terus Chennai-Pulau Pinang merupakan komitmen dua hala, dengan Pulau Pinang mengalu-alukan kedatangan lebih ramai pelawat dari Chennai, manakala kerajaan negeri turut menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia meneroka pelbagai pengalaman ditawarkan oleh Chennai dan Tamil Nadu.
“Pelancongan bukan sahaja memperkasakan ekonomi kita, tetapi juga mempererat pemahaman dan penghargaan antara rakyat kita. Kerajaan Pulau Pinang memberi sokongan penuh terhadap inisiatif ini dan komited untuk mempertingkatkan hubungan ini.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan kerjasama jangka panjang dalam pelancongan, perdagangan, dan pertukaran budaya, yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Kami juga berharap hal ini akan menyumbang kepada hubungan yang lebih luas antara Malaysia dan India, memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya.
Semasa lawatan itu, wakil kumpulan media berpeluang mengunjungi beberapa lokasi ikonik termasuk Tapak Warisan Dunia UNESCO Mahabalipuram yang terkenal dengan kuil batu yang dipotong dan ukiran yang rumit, serta menyaksikan bandar Chennai yang sibuk dan Kanchipuram yang terkenal dengan kuil-kuilnya yang megah dan tradisi tenunan sutera terkenal di dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial