AM > BERITA

Pemulihan Carcosa Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad Perkukuh Identiti Nasional- PM

07/03/2025 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemuliharaan bangunan Carcosa Seri Negara dan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad di sini akan dapat memperkukuh identiti nasional selain memperkaya pengalaman pelancong serta masyarakat tempatan.

Perdana Menteri berkata usaha pemuliharaan kedua-dua bangunan yang menjadi antara mercu tanda warisan di ibu negara itu juga bertepatan dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya percaya, usaha ini adalah untuk memastikan bangunan bersejarah ini bukan sahaja dikekalkan tetapi turut dimajukan sebagai pusat kebudayaan dan ekonomi yang mampan serta boleh diakses oleh semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar dalam hantaran sama memaklumkan beliau hari ini diberi penerangan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengenai status semasa kerja-kerja pemuliharaan kedua-dua bangunan ikonik itu sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Penerangan melalui ‘gallery board walk’ ini antara lain memaparkan gambaran terkini projek yang sedang dijalankan yakni sebahagian daripada inisiatif Khazanah untuk memulihara dan memberi nafas baru kepada bangunan-bangunan warisan negara tersebut.

Perdana Menteri pada 28 Feb lepas dilapor berkata kawasan Dataran Merdeka sehingga Carcosa Seri Negara yang turut merangkumi Bangunan Sultan Abdul Samad akan dijadikan Tapak Warisan Kuala Lumpur.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah menyembah maklum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa Bangunan Sultan Abdul Samad perlu dikekalkan sebagai tanda Warisan Kesultanan Melayu yang agung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada 18 Feb lepas pula dilaporkan berkata Carcosa Seri Negara yang telah hampir enam tahun ditutup, bakal berwajah baharu selepas kerja-kerja pembangunan bangunan warisan negara itu siap menjelang Julai ini. 

Bangunan bersejarah itu ditutup sejak 1 Jun 2019 selepas kerajaan Persekutuan mengambil alih premis itu daripada pihak ketiga.

Carcosa Seri Negara yang pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dibina oleh Residen Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Sir Frank Swettenham.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan