KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Wanita kini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam keluarga malah turut menjadi peneraju dalam pembangunan masyarakat dan negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Mengambil contoh di Bernama, beliau berkata kebanyakan jawatan utama di peringkat pengurusan tertinggi, pertengahan dan dalam kumpulan sokongan disandang petugas wanita sekali gus membuktikan golongan itu mampu memimpin dan menggalas tanggungjawab besar serta membawa perubahan untuk manfaat agensi terbabit dan masyarakat.
“Saya pasti bahawa semua mengakui tanpa kita iaitu petugas wanita, Bernama tidak mungkin mencapai kemajuan yang begitu banyak. Daripada sekecil-kecil tugasan sehingga sebesar-besar tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita oleh Kementerian Komunikasi, semuanya dapat kita laksanakan.
“Saya percaya 60 peratus hasil ini adalah daripada tenaga dan curahan bakti para pegawai dan petugas wanita,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) sempena Hari Wanita 2025 di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Benita Nasriah Darus dan Azlina Aziz yang masing-masing merupakan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan sambutan Hari Wanita yang bertemakan ‘Wanita Beraspirasi, Membina Legasi’ tahun ini, tepat bagi mengiktiraf peranan luar biasa yang dimainkan oleh wanita dalam pelbagai selok-belok kehidupan.
Beliau turut berharap ia akan mengangkat dan memperkasakan wanita agar terus meneroka peluang dan ruang baharu untuk mencipta perubahan yang berkekalan.
Nur-ul Afida turut menggalakkan lebih ramai petugas wanita Bernama menyertai Benita memandangkan terdapat hanya 267 orang telah menjadi ahli daripada keseluruhan 460 petugas wanita di agensi berkenaan.
“Saya percaya jumlah ini kita boleh usaha untuk ditingkatkan. Mungkin dengan lebih menyantuni petugas-petugas muda yang masih belum tahu manfaat yang bakal mereka nikmati dengan menganggotai Benita.
“Pihak pengurusan sentiasa menyokong inisiatif dan aktiviti yang dilakukan Benita termasuk memberi pelepasan bersyarat untuk penglibatan dalam program di peringkat Bernama dan Kementerian Komunikasi, termasuk untuk Ramadan ini," katanya sambil menambah beliau turut meluluskan pelepasan waktu bagi program tadarus yang disertai 47 petugas wanita agar mereka dapat mengkhatamkan al-Quran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial