KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Beberapa Menteri dan Timbalan Menteri mengucapkan selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang disambut di seluruh dunia hari ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam catatan di Facebook berkata sambutan hari ini adalah sebagai meraikan ketabahan, keberanian dan sumbangan luar biasa wanita dalam hidup semua insan.
“Semoga mereka terus dikurniakan kekuatan untuk mengejar impian, melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, serta dihargai untuk setiap pengorbanan dan kejayaan.
“Buat ibu dan isteri tercinta... terima kasih atas kasih sayang yang tak ternilai. Teruskan menginspirasi. Selamat Hari Wanita!,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sambutan Hari Wanita Antarabangsa merupakan hari untuk semua pihak menghargai dan meraikan peranan penting kaum wanita di seluruh dunia yang punyai kekuatan dan potensi luar biasa untuk mendorong perubahan positif dalam masyarakat.
“Hari ini juga mengingatkan kita untuk terus berjuang dan berusaha untuk memperkasa peranan dan hak wanita dalam usaha untuk membina dunia yang lebih adil dan seimbang.
“Tarikh 8 Mac setiap tahun amat signifikan khususnya kepada golongan wanita kerana kita meraikan Hari Wanita Antarabangsa. Di kesempatan bermakna ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025 dengan tema ‘Wanita Beraspirasi Membina Legasi’,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pula berkata tema sambutan tahun ini amat bertepatan dalam mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan negara.
“Wanita hari ini bukan sekadar pelengkap kepada masyarakat, tetapi mereka adalah pencetus perubahan dan pemangkin kemajuan.
“Sejarah telah membuktikan bahawa wanita berperanan besar dalam membangunkan negara. Daripada tokoh kepimpinan, pendidik, ahli ekonomi, pejuang hak asasi, hingga ke barisan hadapan dalam pelbagai sektor, wanita telah menunjukkan kecekalan, keberanian, dan kebijaksanaan dalam menghadapi pelbagai cabaran. Selamat Hari Wanita buat semua wanita di negara ini!,” katanya dalam catatan di Facebook.
Turut mengucapkan selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025 ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara Saraswathy Kandasami.
Teo dalam catatan di Facebook menyeru semua pihak agar bersama-sama mencipta ruang yang lebih adil untuk wanita, bagi memastikan mereka dapat berkembang serta menyumbang kepada negara tanpa halangan.
“Mengambil contoh kepimpinan dan politik di peringkat Parlimen, kita hanya mempunyai 13.5 peratus Ahli Parlimen wanita dan 16.1 peratus wanita di peringkat Kabinet Kerajaan MADANI. Ini menunjukkan keperluan untuk menarik lebih ramai wanita terlibat dalam pembuatan dasar serta pentadbiran negara.
“Dengan sokongan dan komitmen semua, kita dapat mencapai kesaksamaan gender yang sebenar dan membina masa depan yang lebih cerah untuk semua,” katanya.
Saraswathy pula berharap sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 dapat memberi inspirasi kepada semua wanita untuk terus maju dengan penuh keyakinan, keberanian dan keazaman serta menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial