AM > BERITA

Malaysia Perlu Bangunkan Pemimpin AI Tempatan Dalam Industri Semikonduktor

08/03/2025 06:14 PM

GEORGE TOWN, 8 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu memberi tumpuan kepada usaha pembangunan pemimpin kecerdasan buatan (AI) tempatan dalam industri semikonduktor serta mewujudkan ekosistem AI yang kukuh di peringkat domestik.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata penerapan AI bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan operasi pemain industri semikonduktor, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam sektor berkenaan.

“Untuk menjadi hab semikonduktor berasaskan AI bertaraf dunia, kita bukan sahaja perlu mengguna pakai teknologi AI, tetapi juga membangunkannya. Kini adalah masa yang tepat untuk pemain industri semikonduktor Malaysia menerajui inovasi berpandukan AI.

“Kita mesti membangunkan penyelesaian semikonduktor berasaskan AI sendiri yang memenuhi keperluan industri dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Malaysia Semiconductor Industry Association AI Nexus (MAIN) di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara pemain industri semikonduktor, pembangun AI, institusi penyelidikan dan pembuat dasar kerana kejayaan dalam bidang ini memerlukan usaha kolektif.

Gobind berkata kerajaan komited dalam menyokong perniagaan dalam perjalanan transformasi digital mereka. Pada Disember tahun lalu, kerajaan telah menubuhkan Pejabat AI Nasional (NAIO) sebagai pihak berkuasa pusat untuk memacu agenda AI negara.

NAIO turut berperanan menyediakan sokongan, sumber dan panduan yang diperlukan bagi membantu industri semikonduktor memanfaatkan AI secara berkesan.

Sementara itu, beliau berkata pelancaran MAIN hari ini merupakan pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia dalam bidang semikonduktor dan AI. MAIN akan menjadi platform kolaboratif bagi pengeluar semikonduktor, syarikat reka bentuk dan pemain ekosistem untuk mengintegrasikan AI dalam operasi serta usaha penyelidikan mereka.

“Menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), kementerian saya akan memudah cara pengembangan global syarikat komponen MAIN melalui Program GAIN (Gateway, Amplify, Invest, Nurture), sekali gus membuka peluang ke pasaran baharu seperti Brazil dan India.

“Kami juga akan menyokong projek proof-of-concept dan perintis, sama ada di dalam atau luar negara, melalui inisiatif Global Testbed, selain memperkukuh MAIN dengan memperkenalkan syarikat AI merentas sektor serta keupayaan berkaitan, bagi mempertingkatkan lagi ekosistem semikonduktor berpandukan AI di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan