AM > BERITA

PM Anwar Hulur Sumbangan Kepada Keluarga Allahyarham Abu Hanifah

08/03/2025 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada waris keluarga Allahyarham Abu Hanifah Yusof yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi  yang menziarah keluarga Abu Hanifah di Kampung Cherating Baru, Kuantan, Pahang.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Farhan memaklumkan bahawa Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak, termasuk seorang yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala dua lagi adiknya merupakan individu kelainan upaya yang memerlukan perhatian rapi.

“Kini, ibu mereka menjadi satu-satunya tempat bergantung. Saya hadir bukan sekadar menziarahi, tetapi menyampaikan sumbangan wang tunai daripada  Perdana Menteri sebagai tanda keprihatinan.

“Saya juga menitip pesanan kepada si ibu dan anak sulung agar terus tabah mengharungi kehidupan. Semoga kehadiran kami memberi sedikit kelegaan, dan urusan mereka dipermudahkan,” kata Ahmad Farhan dalam hantaran Facebook hari ini, yang turut dikongsikan Anwar.

Ahmad Farhan turut mengajak umat Islam mendoakan agar Allahyarham Abu Hanifah dicucuri rahmat Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan