AM > BERITA

PM Anwar Mahu Wanita Diberi Peluang Secukupnya Dalam Aspek Pembangunan Negara

08/03/2025 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ruang dan peluang secukupnya diberikan kepada golongan wanita dalam semua aspek pembangunan negara.

Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan masih ada kekurangan keterlibatan golongan wanita termasuk pada peringkat pembuat dasar.

Anwar berkata setiap kementerian perlu menumpukan program anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ke arah memperkasakan golongan wanita.

“Setiap kementerian, bicara soal perpaduan ada peranan wanita. Kena ada komunikasi, mesti beri ruang yang secukupnya kepada wanita dalam kalangan penjawat awam walaupun kita saksikan beberapa tokoh utama yang diberikan ruang, kedudukan yang baik dengan prestasi yang membanggakan.

“Saya gesa Ketua Setiausaha Negara supaya mencari jalan meningkatkan peranan dan kedudukan wanita setimpal dengan keupayaan mereka,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalannya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Selaras tema sambutan tahun ini ‘Wanita Beraspirasi Membina Legasi’, Anwar berkata walaupun ketika ini terdapat peningkatan lantikan 30 peratus gred jawatan utama sektor awam (JUSA) dalam kalangan wanita dalam perkhidmatan awam, ia masih boleh diperbaiki.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa sektor swasta meneliti faktor kekurangan wanita di peringkat tertinggi pengurusan syarikat dan menambah jumlah penglibatan mereka.

“Kalau pun kurang, tidak harus dipaksa, diangkat sekarang tetapi perlu ada perencanaan yang teliti.

“Kalau kerajaan tidak menunjukkan contoh permulaannya, saya fikir (nanti) sukar digesa. Saya akan cakap dengan pihak swasta… agak parah kerana penyertaan mereka yang sangat minimum (di peringkat tertinggi pengurusan syarikat),” kata beliau.

Anwar berkata peranan wanita adalah integral kerana mereka paksi dalam kehidupan masyarakat dan memperkukuh pembangunan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata penyertaan wanita dalam dunia politik perlu terus ditingkatkan kerana undi wanita juga memainkan peranan signifikan.

“Calon-calon banyak bergantung kepada undi wanita tetapi penyertaan wanita di Parlimen sangat tidak memenuhi sasaran kita yang awalnya sekitar 14 peratus, walaupun sasaran kita sekurang-kurangnya 30 peratus.

“Saya fikir ini ruang bagi pimpinan wanita untuk menyatakan tuntutan mereka sebagai syarat menyokong parti-parti dengan memastikan parti memberikan peluang untuk tokoh-tokoh wanita menjadi wakil,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan