AM > BERITA

KPDN Kedah Tawar 36,000 Insentif e-Dompet Di Bazar Ramadan Rahmah

10/03/2025 11:03 AM

JITRA, 10 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menawarkan 36,000 insentif e-dompet untuk direbut pengunjung di enam lokasi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2025 di seluruh negeri ini.

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata enam lokasi BRR itu ialah Pasar Ramadan (PR) Taman Mahsuri, Jitra; PR Wisma Ria, Sungai Petani; PR Kelang Lama, Kulim; PR Pekan Baling; PR Kuah, Langkawi dan PR Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Menurut beliau, pengunjung terpilih akan menerima insentif e-dompet sebanyak RM20 seorang, manakala peniaga yang menawarkan Menu RAHMAH akan menerima RM100 sebagai galakan untuk menyediakan lebih banyak menu bernilai RM5 bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Tahun lalu, kita hanya adakan di empat lokasi, tetapi tahun ini diperluaskan ke enam lokasi. Setiap BRR menyediakan 6,000 e-dompet untuk ditebus, bertujuan menggalakkan transaksi digital antara peniaga dan pengguna serta mendidik masyarakat ke arah ekonomi tanpa tunai.

“Pen Petroleum Sdn Bhd selaku rakan strategik KPDN turut menghadiahkan 20 kad petrol bernilai RM50 setiap satu kepada peniaga Menu RAHMAH yang terpilih,” katanya selepas merasmikan BRR peringkat negeri Kedah di Taman Mahsuri, di sini, malam tadi.

Muhammad Nizam berkata, BRR merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa pada harga rendah dan berpatutan.

“Antara Menu RAHMAH yang ditawarkan termasuk nasi berlauk, nasi ayam, nasi kandar, roti john, bihun sup, sate, mi kari, nasi lemak dan murtabak,” katanya.

Sementara itu, menerusi Op Pantau 2025 yang dijalankan di bazar Ramadan dan premis perniagaan di seluruh negeri, KPDN Kedah tidak mengesan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah sehingga 8 Mac lepas.

“Setakat ini, sebanyak 402 premis telah diperiksa dengan 547 pemeriksaan dilakukan mengikut lapan pecahan Op Pantau, antaranya pemantauan harga, alat timbang sukat dan bekalan.

“KPDN Kedah akan meneruskan penguatkuasaan sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri. Mana-mana peniaga yang menaikkan harga sesuka hati sehingga membebankan pengguna akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan