AM > BERITA

Pengusaha Taman Tema Gesa Pembaharuan Undang-undang Untuk Tingkat Industri Pelancongan

10/03/2025 12:22 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pengusaha taman tema menggesa kerajaan melaksanakan pembaharuan terhadap peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan industri itu bagi meningkatkan sektor pelancongan negara.

Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA) turut meminta penjelasan mengenai penggunaan berlebihan istilah ‘taman tema’, untuk memuktamadkan perbezaan antara taman tema, taman hiburan, taman air, dan tempat hiburan lain, bagi memastikan ia memberikan gambaran yang lebih tepat.

Pengerusinya Tan Sri Richard Koh berkata lebih penting lagi, undang-undang lapuk yang memberi kesan kepada industri itu perlu dipinda.

“Industri taman tema dikawal selia undang-undang sejak 1953, yang mengenakan cukai 25 peratus ke atas tarikan keluarga. Ia merupakan undang-undang yang pada asalnya menyasarkan aktiviti tidak bermoral seperti perjudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Koh berkata cukai ini adalah ‘cukai mudarat’ (sin taxes) yang ditujukan untuk pusat-pusat hiburan, dan undang-undang sedemikian menjejaskan kemampuan serta menghalang pelaburan dalam industri berkenaan.

Koh merujuk kepada ruang rekreasi keluarga, taman permainan pendidikan kanak-kanak dan zoo, sebagai contoh tarikan yang terjejas akibat undang-undang lapuk itu.

“Industri ini telah memberi manfaat kepada hotel, restoran, syarikat penerbangan, pusat beli-belah dan banyak lagi perniagaan lain, serta mencipta banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Koh seterusnya berkata taman tema telah pesat berubah, dengan pelaburan digital dan kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam menjadikannya lebih menarik.

“Sebagai contoh, roda Ferris tradisional perlu dilengkapi dengan pencahayaan yang diselaraskan (untuk terus menarik minat pengunjung),” katanya.

Koh adalah pengasas JungleGym Playland dan The Top Penang, serta terlibat dalam projek ikonik seperti Universal Studios Singapore dan Sunway Lagoon.

Beliau berkata industri ini memerlukan sokongan kerajaan kerana ia memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan Malaysia, menjana berbilion ringgit dan menyokong lebih 50,000 pekerjaan.

"Dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 kian hampir, kami mendesak kerajaan untuk menyokong industri ini agar lebih efektif dan mampu bersaing dengan lebih baik di peringkat serantau," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan