AM > BERITA

Rapid Penang On-Demand Perkenal Tiga Laluan Baharu Mulai 15 Mac

10/03/2025 05:05 PM

GEORGE TOWN, 10 Mac (Bernama) -- Pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) bakal memperluaskan jaringan perkhidmatan Rapid Penang On-Demand dengan penambahan tiga laluan baharu dan dua van tambahan bagi laluan sedia ada bermula 15 Mac ini.

Rapid Bus dalam kenyataan hari ini berkata perluasan perkhidmatan yang sebelum ini dikenali sebagai Demand Responsive Transit (DRT) itu meliputi Gurney dan Tanjung Bungah (enam van); Sunway dan Butterworth (enam van) serta Paya Terubong (sebuah van).

“Laluan-laluan baharu ini bertujuan memenuhi permintaan pengangkutan awam di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta kawasan baharu yang masih belum mempunyai akses kepada pengangkutan awam.

“Laluan-laluan ini turut menghubungkan perjalanan batuan pertama dan batuan terakhir (first and last mile) penumpang dengan rangkaian perkhidmatan Rapid Penang yang sedia ada, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam di negeri ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Ku Jamil Zakaria berkata berdasarkan permintaan yang menggalakkan, Rapid Bus merancang menempatkan 50 van secara berperingkat sepanjang tahun ini untuk perkhidmatan di Pulau Pinang.

Beliau berkata langkah strategik itu bertujuan bagi menggalakkan orang awam beralih kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih fleksibel dan efisen.

“Laluan sedia ada, T210B (Farlim dan Air Itam) yang dilancarkan pada 1 Ogos tahun lepas akan turut ditambah baik menerusi penambahan dua van, menjadikan jumlah keseluruhan empat van, yang bertujuan menampung permintaan tinggi serta mengurangkan waktu menunggu para penumpang daripada 17 minit kepada 10 minit,” katanya.

Ku Jamil berkata sejak laluan tersebut beroperasi ia telah menerima purata jumlah penumpang 137 orang, melebihi sasaran awal iaitu purata 100 orang penumpang harian, dan secara kumulatif jumlah penumpang di laluan tersebut telah mencecah lebih 26,000 sejak tujuh bulan beroperasi.

Beliau berkata pelaksanaan mod pembayaran tanpa tunai juga akan bermula pada 13 Mac ini bagi laluan sedia ada iaitu Farlim dan Air Itam diikuti tiga laluan baharu mulai 15 Mac. 

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan