AM > BERITA

MOT Lanjut Pemeriksaan Puspakom 30 Hari Awal Sebelum Tamat LKM - Loke

11/03/2025 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) melanjutkan tempoh pemeriksaan berkala kenderaan perdagangan sehingga 30 hari lebih awal sebelum tarikh tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) berbanding 14 hari ketika ini, sebagai langkah mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan.

Menterinya Anthony Loke berkata penambahbaikan yang bermula 17 Mac ini juga bertujuan memudahkan pemilik kenderaan merancang masa untuk pemeriksaan dan mendapatkan slot tempahan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) lebih awal.

"Kenderaan boleh menjalani pemeriksaan 30 hari lebih awal tanpa menjejaskan tarikh luput LKM, dan tidak menyebabkan kerugian kepada pemilik. Tempoh sah LKM akan datang tetap dikira berdasarkan tarikh tamat sebelumnya walaupun pemeriksaan dilakukan lebih awal," katanya pada sidang media selepas meninjau PUSPAKOM Wangsa Maju di sini hari ini. 

Loke berkata MOT turut memberi kelonggaran pemeriksaan mandatori di PUSPAKOM bagi lima item tidak melibatkan aspek keselamatan dengan memperkenalkan konsep deklarasi kendiri (self declaration), bagi memendekkan masa pemeriksaan serta mengurangkan kes kegagalan atas sebab tidak kritikal.  

Item itu ialah tanda badan kenderaan (body lettering), tanda had laju (speed sign), kit bantuan kecemasan (first aid kit), nombor pendaftaran dan keadaan tempat duduk penumpang bagi kenderaan perkhidmatan awam.

"Contohnya jika sebelum ini kenderaan tidak lulus kerana tulisan alamat pudar, kini PUSPAKOM tidak lagi akan menggagalkan (kenderaan) atas sebab itu, tetapi pihak penguat kuasa akan tetap menjalankan pemeriksaan terhadap lima item itu di jalan raya bagi memastikan pematuhan berterusan," katanya.  

MOT juga memberikan pengecualian kepada kenderaan berat yang perlu menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM untuk menggunakan lebuh raya terpilih di Lembah Klang pada waktu puncak, iaitu 6.30 hingga 9.30 pagi dan 4.30 pagi hingga 7.30 malam, dengan syarat mengemukakan bukti slip tempahan pemeriksaan. 

Selain itu Loke berkata PUSPAKOM juga mengambil beberapa langkah penambahbaikan jangka masa pendek, termasuk meningkatkan waktu operasi selama empat jam untuk beroperasi sehingga 12 jam sehari, selain turut dibuka pada Sabtu sepanjang bulan ini. 

PUSPAKOM juga tidak lagi membenarkan tempahan slot pemeriksaan berganda bagi nombor pendaftaran sama untuk mengelakkan penyalahgunaan oleh orang tengah atau runner dengan menjual slot pemeriksaan kepada pihak lain untuk keuntungan berlebihan. 

“Sebagai contoh, jika kenderaan dengan nombor pendaftaran ABC123 membuat empat tempahan slot pemeriksaan pada tarikh sama, hanya satu slot akan dibenarkan. 

“PUSPAKOM juga akan menambah baik sistem tempahan dengan membekukan slot pemeriksaan asal sekiranya ia ditunda ke tarikh lain. Langkah ini diambil bagi mengelakkan slot asal disalah guna atau dijual kepada pihak lain, yang nilainya mungkin ratusan ringgit,” katanya. 

Loke menjangkakan peningkatan kapasiti PUSPAKOM sehingga 15 peratus sehari, iaitu daripada 13,500 kenderaan kepada 15,500 kenderaan, selepas langkah penambahbaikan itu bermula Isnin ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan