AM > BERITA

Keputusan Saravanan Tidak Teruskan Debat Langkah Tepat Jaga Keharmonian - Aaron

11/03/2025 03:57 PM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Keputusan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan tidak meneruskan debat berkaitan agama dengan pendakwah bebas Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu merupakan tindakan amat tepat dalam menjaga keharmonian dan perpaduan negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan hari ini berkata beliau juga menghargai langkah dan usaha Muhammad Zamri menyambut baik perkara itu.

Beliau berkata keputusan itu mengingatkan seluruh masyarakat tentang kepentingan untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan bangsa. 

"Semoga keputusan ini dapat menjadi contoh teladan baik kepada kita semua untuk terus berusaha memperkukuh perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain.

"Keputusan ini adalah satu langkah positif, mengingatkan kita tentang kepentingan menjaga keamanan dan keharmonian dalam negara yang pelbagai, dan wajar dijadikan pedoman bagi generasi akan datang," katanya.

Aaron berkata perpaduan bukan hanya sekadar slogan, tetapi harus diterjemahkan dalam tindakan dan sikap seharian, dengan prinsip 'Faham, Hormat, dan Terima' menjadi asas penting kepada perkara itu. 

"Mengambil pendekatan lebih inklusif dan mengamalkan prinsip Faham, Hormat dan Terima membolehkan kita membina masyarakat lebih harmoni dan sejahtera," katanya.

Media hari ini melaporkan Saravanan memutuskan untuk tidak meneruskan debat berkaitan agama dengan Muhammad Zamri demi menjaga perpaduan negara dan selepas berbincang dengan Menteri Perpaduan serta Presiden MIC Tan Sri S.A .Vigneswaran.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan