AM > BERITA

Nota Kerjasama SPRM, DBKK Jadi Modal Rujukan PBT Di Sabah

11/03/2025 10:39 PM

KOTA KINABALU, 11 Mac (Bernama) -- Nota Kerjasama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjadi model rujukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah bagi mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan berdasarkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata ia menjadi asas kepada reformasi pentadbiran, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga DBKK tetapi juga keseluruhan ekosistem perkhidmatan awam di Sabah.

Abidin yang juga menteri bertanggungjawab kepada DBKK berkata kerajaan negeri melihat usaha membanteras rasuah dan meningkatkan kecekapan sistem pentadbiran sebagai faktor utama dalam meningkatkan daya saing Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Sabah berpotensi dalam sektor pelancongan, perindustrian, pertanian serta perkhidmatan, dan kita perlu memastikan setiap pelabur dari dalam mahupun luar negara yakin menjalankan perniagaan di Sabah tanpa bimbang terhadap penyalahgunaan kuasa dalam sistem pentadbiran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM dengan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan Majlis Berbuka Puasa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Abidin berkata pencegahan rasuah bukan sekadar tanggungjawab kerajaan dan SPRM tetapi ia usaha kolektif yang memerlukan penyertaan menyeluruh daripada semua pihak.

Sementara itu, Sabin berkata sebagai tanda komitmen DBKK dalam memastikan keberkesanan Nota Kerjasama itu beberapa inisiatif utama akan dilaksanakan secara berperingkat antaranya menyalurkan maklumat berkaitan kes salah laku kepada SPRM.

Beliau berkata DBKK juga akan memperkenalkan sistem pengaduan dalaman secara dalam talian bagi membolehkan warga DBKK membuat laporan berkaitan isu integriti secara lebih selamat, telus dan rahsia.

"Sistem itu akan berperanan sebagai platform yang efektif dalam memperkukuh ketelusan serta membina kepercayaan dalam kalangan warga kerja DBKK.

"DBKK dengan sokongan SPRM akan menganjurkan kursus, bengkel dan sesi taklimat berkala bagi memastikan setiap pegawai dan kakitangan memahami kepentingan integriti serta peranan mereka dalam mengekang rasuah di tempat kerja," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan