AM > BERITA

Wanita Hilang Pendapatan Terima Bantuan Perdana Menteri Untuk Kelangsungan Hidup

12/03/2025 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Seorang wanita yang kehilangan sumber pendapatan tetap selepas suaminya mengalami masalah kesihatan menerima bantuan kewangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kampung Tun Sardon, Permatang Pauh, hari ini.

Bantuan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi, kepada penerima, Norizan Jaafar, yang berdepan kesukaran menyara kehidupan bersama dua anaknya yang masih bersekolah di asrama.

Dalam hantaran di Facebook, Ahmad Farhan memaklumkan bahawa keadaan suami Norizan yang tidak lagi mampu bekerja menyebabkan keluarga itu kehilangan sumber pendapatan stabil, sekali gus memberi tekanan besar terhadap kos kehidupan dan keperluan pendidikan anak-anaknya.

"Kos sara hidup yang semakin meningkat, ditambah dengan tanggungjawab membesarkan anak-anak yang masih bersekolah, sememangnya membebankan. Namun, usaha ini bukan sekadar bantuan jangka pendek.

"Dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kami berusaha memastikan Puan Norizan dan keluarganya mendapat sokongan berterusan, agar mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan tegar," katanya.

Beliau berharap inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban keluarga berkenaan tetapi juga membantu Norizan meneruskan kehidupan dengan lebih tenang dan memberikan tumpuan penuh kepada masa depan anak-anaknya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan