AM > BERITA

Pendatang Asing Disaran Manfaat Program Repatriasi Migran - Saifuddin Nasution

12/03/2025 09:29 PM

PELABUHAN KLANG, 12 Mac (Bernama) -- Pendatang asing yang berhasrat pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri diminta memanfaatkan Program Repatriasi Migran yang dilanjutkan hingga April ini. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hal ini kerana mereka yang ingin keluar dari negara ini secara haram akan berdepan tindakan undang-undang susulan pelaksanaan Op Khas Pagar Laut oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Beliau berkata operasi khas bersempena dengan perayaan Aidilfitri itu dilaksanakan dengan fokus membanteras jenayah rentas sempadan dan pencerobohan perairan negara. 

"Di bawah Program Repatriasi Migran, mereka yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen hanya perlu tampilkan diri, bayar kompaun dan mereka boleh pulang … langkah itu lebih terjamin dan selamat daripada menggunakan ejen atau sindiket haram.

“Antara sasaran Op Pagar Laut ialah pendatang yang dalam segmen itu, jadi kalau mereka sudah berada di sini dan kita bersifat ihsan, maka adalah lebih baik untuk mereka bayar kompaun dan uruskan perjalanan pulang dengan sah," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Khas Pagar Laut dan Majlis Berbuka Puasa bersama warga Maritim Malaysia di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di Pusat Hidrografi Negara di sini hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata program repatriasi pada tahun lepas berjaya mengutip sebanyak RM120 juta bayaran kompaun dan pihaknya berhasrat melanjutkan program itu dengan kerajaan Indonesia hingga tahun hadapan.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata kerajaan melaksanakan Program Repatriasi Migran bermula pada 1 Mac ini bagi memudahkan penghantaran pulang warga asing yang tinggal di negara ini secara tidak sah dengan membayar kompaun dan tidak akan dikenakan tindakan pendakwaan.

Berhubung Op Khas Pagar Laut, Saifuddin Nasution berkata sejak dilaksanakan pada 2020 hingga 2024, operasi itu berjaya merekodkan 251 kes tangkapan dengan nilai rampasan hampir RM110 juta. 

“Daripada jumlah berkenaan, Sabah mencatatkan kes tangkapan tertinggi, iaitu sebanyak 69 kes diikuti Perak dengan 57 kes dan Johor sejumlah 31 kes.

“Kesalahan paling tinggi yang direkodkan adalah di bawah Akta Perikanan 1985 dengan 185 kes, diikuti Akta Imigresen 1959/63 sebanyak 95 kes dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 40 kes,” katanya.

Beliau berkata Op Khas Pagar Laut yang berlangsung hingga 1 Syawal dan akan diteruskan selama dua minggu lagi itu melibatkan empat fasa merangkumi pengumpulan maklumat dan kesiapsiagaan aset, penguatkuasaan sebelum perayaan, penguatkuasaan selepas perayaaan, serta pemantauan dan Post Exercise Debrief (PXD).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan