AM > BERITA

Jawatankuasa Fatwa MKI Putuskan Ahli Sunah Waljamaah Mazhab Rasmi Negara

13/03/2025 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) telah memutuskan Ahli Sunah Waljamaah adalah mazhab rasmi negara ini dari segi perundangan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata perkara itu diputuskan ketika Jawatankuasa Fatwa MKI bersidang pada 21 dan 22 Okt lepas.

“Kerajaan telah mengambil beberapa langkah penting dalam memantapkan pendekatan Ahli Sunah Waljamaah yang bersifat wasatiyah, mengutamakan kesederhanaan dan mengurangkan pergeseran dalam kalangan umat Islam, terutamanya melibatkan perbezaan aliran.

"Kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada agenda penyatuan umat Islam di negara ini, sambil memberi penekanan kepada usaha memperkukuh pegangan Ahli Sunah Waljamaah dan menjauhi sikap ekstrem yang timbul akibat perbezaan pandangan dan aliran pemikiran," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengena inisiatif Kerajaan MADANI untuk menangani pertembungan berbagai aliran pemikiran Islam yang boleh menjejaskan perpaduan ummah.

Zulkifli berkata Jawatankuasa Fatwa MKI yang bersidang pada 5 Mei 1996  telah memutuskan umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Menurutnya antara usaha dan langkah kerajaan ialah pengukuhan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi kerjasama dengan institusi agama Islam negeri bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran agama Islam selari dengan prinsip-prinsip Ahli Sunah Waljamaah.

“Penyelarasan dan penyeragaman fatwa serta undang-undang syariah juga dilaksana secara teratur bersama pihak berkuasa agama negeri.

“Jawatankuasa Fatwa MKI merupakan antara platform terbaik bagi menangani pertembungan aliran pemikiran ini. MKI bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun untuk menyelaras dan menyeragamkan hukum-hukum fatwa agar menjadi rujukan peringkat kebangsaan dan peringkat negeri,” katanya.

Beliau berkata medium khutbah Jumaat juga digunakan sebagai peringatan dan nasihat kepada umat Islam agar bersifat wasatiyah, harmoni, mementingkan keamanan dan perpaduan serta menekankan aspek adab dalam menangani perbezaan dalam perkara khilafiah dan pihaknya turut menerbitkan teks khutbah Jumaat tersebut selain menerbitkan beberapa buku antaranya "Adab al-Ikhtilaf fil Islam" oleh Syeikh Dr Taha Jabir al-Alwani.

Di samping itu, kerajaan menjalankan pelbagai aktiviti dan program melalui pendekatan dakwah bil hal dan dakwah bil lisan untuk menyebarkan serta memantapkan kefahaman Islam yang sederhana dan meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

“Kerajaan terus memperkasakan program pendidikan dan keilmuan seperti program takmir di masjid dan surau, forum perdana ehwal Islam, majlis ilmu MADANI, daurah pengajian hadis, dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya pendekatan digunakan dalam aliran pelbagai itu berlandaskan prinsip maqasid syariah dan Ahli Sunah Waljamaah dengan tujuan memelihara keharmonian dan perpaduan umat Islam.

Menjawab soalan tambahan Senator Ros Suryati Alang mengenai kemungkinan pengeluaran garis panduan untuk penceramah, Zulkifli berkata setiap negeri telah mempunyai jawatankuasa tauliah untuk memantau, mengawal, dan meluluskan permohonan tauliah.

“Untuk menggalakkan penceramah atau pemegang tauliah memberi ceramah, kita sudah mempunyai undang-undang dan peraturan melalui pengawalan tauliah.

"Sekiranya terdapat pihak yang melanggar syarat dan etika tauliah, mereka akan dipanggil untuk diberi nasihat, dan jika tidak mengikut nasihat, tauliah mereka boleh digantung dan tidak diperbaharui,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan