AM > BERITA

Penganjuran Semula Hadiah Bahasa Iktiraf Karya Bahasa Melayu berkualiti - DBP

13/03/2025 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Penganjuran semula Hadiah Bahasa mampu menyuntik semangat serta menarik minat golongan akademik dan profesional untuk terus menghasilkan karya bahasa sebagai bahan bacaan dan rujukan masyarakat.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Hadiah Bahasa itu turut memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada karya bahasa Melayu berkualiti tinggi, baik dari segi bahasa mahupun isi, yang dihasilkan oleh pelajar daripada peringkat rendah hingga universiti.

“Semoga penganjuran Hadiah Bahasa ini dapat memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan meningkatkan pengupayaan modal insan sejajar dengan satu daripada teras Malaysia MADANI, iaitu daya cipta,” menurut kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Hadiah Bahasa, yang kali terakhir dianjurkan pada 1985, akan dihidupkan semula dengan inisiatif Public Bank Berhad bagi memartabatkan Bahasa Malaysia dan menggalakkan penggunaannya dalam masyarakat.

DBP turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau dalam menghidupkan semula Hadiah Bahasa dengan sokongan bank berkenaan.

“Sebagai sebuah badan dipertanggungjawabkan memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan, DBP bersedia bekerjasama melaksanakan pelbagai program menyumbang pada penghasilan karya ilmiah pelbagai bidang yang bermutu dalam bahasa Melayu.

“DBP sangat mengalu-alukan penglibatan sektor swasta seperti Public Bank Berhad dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan