AM > BERITA

MTA Santuni Gelandangan Menerusi Program Rahmat Ramadan

14/03/2025 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Malaysian Takaful Association (MTA) dengan kerjasama Etiqa General Takaful Berhad (EGTB) menganjurkan program kebajikan "Rahmat Ramadan: Santuni Gelandangan" bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik dengan pengagihan makanan sahur di sekitar ibu negara, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata program itu merupakan satu permulaan yang besar dalam usaha memperluaskan impak “Tabung Sosial Takaful” bertujuan membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan melalui sumbangan komuniti takaful.

"Dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, kami ingin menzahirkan keprihatinan dengan memberi bantuan kepada golongan gelandangan melalui penyediaan makanan sahur. 

"Inisiatif ini bukan sekadar sumbangan makanan tetapi juga sebagai simbol solidariti dan tanggungjawab sosial dalam kalangan industri takaful," katanya kepada Bernama semasa program itu malam tadi.

Sebanyak 100 pek makanan diedarkan kepada gelandangan di sekitar Chow Kit dengan penyertaan 20 sukarelawan daripada MTA dan EGTB

Program ini turut disertai oleh Ketua eChannel Etiqa General Takaful Berhad Helmi Rahim dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Riqab Kuala Lumpur Akmar Ali.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Radzuan berkata takaful bukan sekadar perlindungan kewangan tetapi juga satu wadah untuk beramal dan membantu masyarakat yang memerlukan. 

Hingga 2023, jumlah zakat korporat yang telah dibayar oleh pengendali-pengendali takaful adalah sekitar RM50 juta dan sebahagiannya digunakan untuk pelbagai inisiatif kebajikan yang memanfaatkan golongan asnaf yang layak dan jumlah berkenaan dijangka meningkat bagi 2024.

"Melalui sumbangan yang dibuat oleh peserta takaful, kita bukan sahaja memberi perlindungan tetapi juga membantu mereka yang memerlukan seiring dengan prinsip takaful yang berasaskan kebersamaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MTA merancang untuk meneruskan inisiatif Rahmat Ramadan dengan pelbagai program kebajikan termasuk berbuka puasa bersama pekerja ekonomi gig serta pemberian sumbangan kepada institusi kebajikan lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan