AM > BERITA

Isu Campuran Beras: KPDN Periksa 308 Premis, Buka 99 Kertas Siasatan

14/03/2025 03:27 PM

PUTRAJAYA, 14 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeriksa 308 premis dan membuka 99 kertas siasatan menerusi Ops Campur berhubung isu campuran beras import dan tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata menerusi operasi dijalankan, KPDN memperoleh 99 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) beras.

Beliau berkata daripada jumlah 99 sampel itu, sebanyak 17 daripadanya telah diserahkan kepada Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

“Kita serahkan kepada MARDI untuk membuat analisa dan DNA ini kita akan hantar secara berperingkat.

“Jika DNA beras tempatan didapati dalam sampel itu maka kita akan membuat tindakan selanjutnya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di sini hari ini.

Penguatkuasaan Ops Campur merangkumi perundangan di bawah  Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) iaitu tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta 730. 

Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 730 dan jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala syarikat yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM250,000.

Mengenai rasional penggunaan Akta 730 dalam penguatkuasaan isu beras campur, beliau berkata KPDN menggunakan akta berkenaan kerana kewujudan campuran beras import dan tempatan menjadi satu kesalahan iaitu dagangan palsu.

“Di bawah Akta Perihal Dagangan ada peruntukan yang melihat kepada kesalahan untuk membuat perihal dagangan palsu. Kalau mana-mana pihak menjual beras, contohnya dengan label beras import, tetapi sebenarnya ada kandungan beras tempatan bermakna ia membuat perihal dagangan palsu,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan