AM > BERITA

Usaha Hapus Kanser Serviks Diperkukuh Melalui MoU KKM-Yayasan ROSE

14/03/2025 05:03 PM

PUTRAJAYA, 14 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan penurunan kadar kanser serviks dalam kalangan wanita di Malaysia susulan kerjasama awam-swasta melalui program Eliminasi Kanser Serviks antara kementerian itu dan Yayasan ROSE.

Timbalan Menterinya Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata usaha itu adalah sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini, menandakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama strategik bagi meningkatkan kesedaran awam, memperkasakan sistem penjagaan kesihatan, dan memperluaskan akses kepada perkhidmatan pengesanan awal kanser serviks.

“Kita menjangkakan akan ada penurunan kes berdasarkan data yang kita ada di KKM yang menunjukkan trend penurunan. Saya cukup yakin melalui kerjasama awam-swasta ini akan menambahkan lagi peratusan penurunan tersebut dan meningkatkan literasi.

“Itu yang paling penting, selain menunjukkan bahawa terdapat badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta yang melakukan advokasi ini dengan cukup teliti dan serius,” katanya kepada media di Majlis Menandatangani MoU Kerjasama Awam-Swasta bagi Program Eliminasi Kanser Serviks antara KKM dan Yayasan ROSE.

Yayasan ROSE (Removing Obstacles to Cervical Screening) adalah organisasi amal yang komited terhadap pencegahan dan kawalan kanser serviks di Malaysia.

Terdahulu dalam ucapannya, Lukanisman berkata statistik terkini daripada Registri Kanser Kebangsaan (NCR) menunjukkan kadar insiden kanser serviks di Malaysia turun kepada 6.0 kes bagi setiap 100,000 wanita bagi tempoh 2017-2021, berbanding 6.2 kes dalam tempoh 2012-2016.

Lebih signifikan, beliau berkata kanser serviks kini tidak lagi berada dalam senarai 10 kanser paling kerap di Malaysia sebaliknya telah turun ke tangga ke-11.

Lukanisman juga berkata KKM telah membangunkan Pelan Tindakan Ke Arah Penghapusan Kanser Serviks di Malaysia 2021-2030 bersama pakar klinikal dan kesihatan awam, selaras dengan strategi global yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Sudah tiba masanya kita melonjakkan taraf rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita melalui penekanan kepada strategi yang memandang ke masa hadapan, bersepadu dan inklusif untuk menghapuskan kanser serviks,” katanya.

Melalui kerjasama ini, Yayasan ROSE akan menyediakan kit saringan kendiri virus papiloma manusia (HPV) secara percuma kepada wanita yang memerlukan.

Dalam tempoh pelaksanaan MoU itu, dianggarkan 1,000 hingga 2,000 kit setahun akan diagihkan secara berkala di Klinik Kesihatan terpilih yang dikenal pasti secara bersama oleh KKM dan Yayasan ROSE.

Langkah itu diambil bagi memastikan saringan dapat dilakukan dengan mudah dan meluas, tanpa halangan logistik bagi golongan sasar.

MoU tersebut juga merangkumi usaha untuk meningkatkan kompetensi dan kapasiti profesional kesihatan melalui latihan serta bengkel yang akan dianjurkan secara bersama oleh kedua-dua pihak.

Latihan yang diberikan kelak akan memberi tumpuan kepada teknik pengendalian kit saringan kendiri HPV, penggunaan sistem pendaftaran digital Yayasan ROSE, dan pengukuhan kemahiran kolposkopi bagi pakar perubatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan