AM > BERITA

APAD Keluarkan 300 Lesen Perubahan Sementara Bas Ekonomi Sempena Aidilfitri

14/03/2025 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bakal mengeluarkan 300 Lesen Perubahan Sementara kepada pengusaha bas ekonomi bagi menampung permintaan tinggi sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

APAD dalam kenyataan hari ini juga memaklumkan pihaknya telah melaksanakan pemantauan rapi pada musim perayaan ini bagi memastikan pengendali-pengendali bas mematuhi jadual tambang yang telah ditetapkan.

Justeru, agensi itu mengingatkan pengendali bas supaya mematuhi jadual tambang sedia ada bagi mengelakkan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen pengendali.

Sementara itu, APAD memaklumkan pihaknya turut menerima maklum balas mengenai pengguna yang tanpa sengaja membeli tiket eksekutif yang lebih mahal akibat kekurangan maklumat jelas semasa pembelian.

“APAD telah mengeluarkan arahan supaya pusat penjualan tiket berpusat termasuk dalam talian dan luar talian memaparkan secara jelas sama ada tiket yang dijual adalah ekonomi atau eksekutif agar pengguna boleh memilih perkhidmatan yang setimpal dengan harga tiket yang hendak dibayar,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, agensi berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya akan menyemak dasar dan peraturan sedia ada termasuk cadangan pengenalan tambang siling bagi perkhidmatan eksekutif memandangkan semakan terakhir kadar tambang dibuat pada 2013.

Menurut kenyataan itu, sebarang pindaan dasar dan peraturan akan mengambil masa kerana melibatkan aspek perundangan.

Sejak 9 September 2013, tambang siling bas ekonomi dikawal pada kadar RM0.093 setiap kilometer dengan had tambahan 10 peratus pada musim perayaan, manakala perkhidmatan bas eksekutif tidak mempunyai tambang siling.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan