AM > BERITA

KPN Sasar Tubuh 100 KRT Baharu Tahun Ini - Aaron 

14/03/2025 06:23 PM

SRI AMAN, 14 Mac (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyasarkan untuk menubuhkan 100 lagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara pada tahun ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata buat masa ini terdapat 8,529 KRT di seluruh negara, di mana 91 daripadanya ditubuhkan pada tahun lepas.

“Walaupun setiap tahun kita menambah dan menubuhkan KRT baharu, kini terdapat lebih kurang 442 KRT, iaitu 5.2%, yang tidak aktif di seluruh negara.

“Oleh sebab itu, saya menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahun 2025 dengan meminta semua Pengarah Perpaduan Negeri mengambil tindakan proaktif serta bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk melaksanakan kempen dan inisiatif bagi mengaktifkan semula KRT yang tidak aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran kawasan KRT baharu di Sri Aman bagi tahun ini, di sini hari ini.

Aaron berkata pada tahun lalu, sebanyak 152 KRT telah diperkasakan sebagai KRT Progresif yang berupaya membangun komuniti mampan dan progresif.

“Pada tahun ini, sekurang-kurangnya 300 KRT lagi disasarkan untuk diperkasakan sebagai KRT Progresif dengan penilaian terperinci merangkumi penyediaan profil, pemetaan sosial, permohonan projek ekonomi dan pembangunan kebun komuniti yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata sebanyak RM20 juta telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan untuk inisiatif KRT Progresif pada tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan