AM > BERITA

MAIPs Salur Lebih RM500,000 Laksana Program Ihyak Masjid Di Perlis

14/03/2025 07:13 PM

KANGAR, 14 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan berjumlah RM505,000 bagi melaksanakan program Ihyak Masjid di 101 rumah ibadah itu di seluruh negeri berkenaan.

MAIPs dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan itu bertujuan menyokong usaha pengimarahan dan pemerkasaan institusi masjid sebagai pusat perkembangan dakwah serta aktiviti kemasyarakatan.

“Peruntukan ini bukan sekadar untuk penyelenggaraan fizikal masjid, tetapi juga bagi mengimarahkan rumah ibadah dengan program keilmuan dan kebajikan.

“Masjid perlu menjadi pusat ilmu dan pembangunan rohani yang aktif serta tempat perlindungan bagi masyarakat setempat. Justeru, MAIPs komited merangka pelbagai program bagi memastikan institusi ini kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa,” menurut kenyataan itu.

Simbolik penyerahan peruntukan itu disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di sini baru-baru ini. Turut berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

MAIPs turut menegaskan sudah tiba masanya umat Islam mengembalikan peranan masjid sebagai jantung gerakan ummah dengan masjid bukan sekadar tempat solat, malah menjadi pusat penggerak perubahan sosial, ekonomi dan pendidikan masyarakat Islam.

“Kita harus menjadikannya sebagai medan penyatuan dan pembinaan tamadun yang kukuh, agar ia terus menjadi benteng utama dalam mempertahankan nilai dan maruah umat Islam,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan