KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Seramai 100 keluarga Orang Asli di Desa Temuan, Bukit Lanjan di sini hari ini menerima pek makanan asas hasil sumbangan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).
Pek makanan asas yang mengandungi beras, tepung, minyak masak, susu dan garam itu merupakan inisiatif MDEC dalam menyantuni masyarakat Orang Asli sempena Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata program itu adalah sebahagian daripada komitmen agensi berkenaan untuk memastikan kesejahteraan masyarakat bukan sahaja dalam aspek digital tetapi juga kebajikan sosial secara menyeluruh.
MDEC turut menyerahkan sumbangan perabot bagi makmal komputer Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan untuk meningkatkan kemudahan pembelajaran digital.
Anuar Fariz berkata sejak 2021, MDEC telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa komuniti Orang Asli di Desa Temuan seperti program #SayaDigital yang melatih 301 peserta dalam kemahiran digital dan keusahawanan.
Selain itu, MDEC melaksanakan program Pemberdayaan Digital dengan menyumbang 250 komputer riba kepada pelajar di kawasan berkenaan bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian dan mempersiapkan diri mendepani dunia digital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial