KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Malaysia akan memperkukuh kedudukannya sebagai pusat perdagangan, kewangan dan teknologi yang berdaya saing dalam keadaan perubahan global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam komentar bertajuk "The Global South's Path to Resilience Economic" yang diterbitkan oleh Projek Syndicate, beliau berkata walaupun Daron Acemoglu, Simon Johnson dan James A. Robinson yang memenangi Hadiah Nobel menekankan mengenai institusi dan tadbir urus dengan menonjolkan ketidaksamaan sistemik, negara harus mengelakkan daripada mengambil mudah mengenai aspek kompleks berkaitan dinamik kuasa global.
"Cabaran yang kita hadapi hari ini bukan sahaja daripada penjajah sejarah malah pelbagai pelaku global termasuk syarikat, individu dan entiti bukan negara yang seringkali tidak menghiraukan undang-undang dan norma," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Beliau mengulangi pendirian bahawa Malaysia juga akan mengekalkan hubungan terbuka dan pragmatik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China, berasaskan saling hormat menghormati dan kepentingan bersama.
"Sekiranya persaingan antara Sino-Amerika menjadi seperti permainan zero-sum (kejayaan satu pihak hanya boleh dicapai dengan mengorbankan pihak lain), oleh itu tidak akan ada pemenang.
“Sehubungan itu, mengekalkan hubungan kukuh dengan kedua-dua kuasa berkenaan bukan sahaja mengenai aspek pragmatisme ekonomi. Ia adalah keperluan strategik untuk melindungi kepentingan negara dan memastikan kemakmuran dalam dunia yang semakin tidak menentu.
“Dengan memupuk hubungan yang seimbang dan membina bersama-sama China dan AS, Malaysia berhasrat untuk membangunkan asas ekonomi yang pelbagai, mengurangkan banyak bergantung kepada mana-mana negara atau blok tunggal, dan memperteguh kedudukan sebagai ekonomi berdaya tahan, terbuka dan berdaya saing," kata Anwar.
Beliau berkata komitmen terhadap inklusif dan kemampanan terletak pada teras agenda pembangunan Malaysia, membolehkan negara ini bertahan daripada tekanan yang berterusan dalam persaingan global dan tuntutan yang kadangkala tidak mahu berkompromi daripada negara-negara paling berkuasa di dunia.
Anwar menekankan bahawa Kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan pada 2023, mempunyai dua matlamat utama iaitu "menaikkan siling" menerusi pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan "menaikkan lantai" dengan memastikan kemakmuran dikongsi semua.
"Inklusif yang tulen, dengan kemakmuran bukan satu keistimewaan eksklusif sebaliknya hak kolektif, adalah bentuk daya tahan masyarakat yang sudah pasti," katanya.
Usaha kerajaan MADANI telah mula membuahkan hasil, kata Perdana Menteri sambil memaklumkan bahawa negara mencatatkan prestasi ekonomi yang kukuh pada 2024 dengan keluaran dalam negara kasar meningkat lebih lima peratus, inflasi kekal stabil di bawah dua peratus, dan angka dagangan yang mencatatkan rekod tertinggi.
"Komuniti antarabangsa telah memberikan perhatian. Berikutan institusi kami yang matang dan iklim pelaburan yang menggalakkan, sektor pembuatan dan perkhidmatan kami menarik hampir US$85 bilion dalam pelaburan asing, daripada Timur dan Barat pada 2024.
"Bagaimanapun kami tidak boleh berasa puas hati. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, kestabilan bergantung kepada kebolehsesuaian. Dalam hal ini, komitmen mendalam Malaysia terhadap industri semikonduktor mencerminkan visi negara yang memadang ke hadapan," kata Anwar.
Perdana Menteri berkata menerusi pelancaran Strategi Semikonduktor Nasional, Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
"Kami telah menjadi pengeksport semikonduktor terbesar keenam di dunia, justeru kami bertekad untuk meningkatkan rantaian nilai, memberikan tumpuan kepada aktiviti ‘front-end’ atau aktiviti pada peringkat awal.
“Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kami akan melancarkan taman reka bentuk cip yang kedua -- kurang daripada setahun selepas melancarkan yang pertama," kata Perdana Menteri.
Selain itu, Anwar berkata, Malaysia berada di barisan hadapan untuk memacu inovasi dalam ASEAN, memperjuangkan pusat data dan kecerdasan buatan dan meneroka potensi mata wang kripto dan aset digital.
Projek Syndicate adalah organisasi media tidak berasaskan keuntungan antarabangsa yang menerbitkan komentar dan analisis mengenai pelbagai topik global dalam kalangan cendekiawan, pembuat dasar dan aktivis sivik terkemuka di dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial