AM > BERITA

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 Pada 26-27 Mei - Mohamad Hasan

15/03/2025 04:33 PM

SEREMBAN, 15 Mac (Bernama) -- Sidang kemuncak ASEAN ke-46 akan diadakan pada 26 dan 27 Mei ini manakala Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog bermula penghujung Oktober, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata sidang kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 Mei akan melibatkan semua 10 pemimpin negara anggota ASEAN manakala mesyuarat pada 27 Mei akan melibatkan ketua-ketua negara ASEAN dengan ketua negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

"...besar kemungkinan, Insya-Allah selepas majlis royal banquet pada 27 Mei itu, akan berlangsung Sidang Kemuncak ASEAN GCC-China di Kuala Lumpur," katanya kepada media pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan dan Bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim di Dewan Komuniti, Taman Kelab Tuanku, Mambau disini hari ini.

Mohamad berkata pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, negara-negara ASEAN dengan 10 negara rakan dialog seperti China, Korea Selatan, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat akan terlibat dalam mesyuarat ASEAN Plus Three, ASEAN Plus One, Asian Summit dan ASEAN Regional Forum selain mesyuarat dua hala antara negara masing-masing. 

"Sidang kedua ASEAN dan rakan-rakan dialong akan diadakan pada penghujung Oktober.. tarikhnya 26-28 Okt atau 3-5 Nov, tetapi besar kemungkinan.. banyak yang bersetuju supaya ia diadakan pada penghujung Oktober," katanya.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

Sementara itu Mohamad menzahirkan penghargaan terhadap pujian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini atas kejayaan Wisma Putra dalam memperkukuh imej dan pengaruh Malaysia di peringkat global.

Beliau berkata Wisma Putra memainkan peranan penting bagi mengekalkan imej negara kekal sebagai negara yang aman di rantau ASEAN iaitu bebas dan berkecuali. 

"Itu peranan kementerian, selain membawa suara rakyat Malaysia (serta) dalam hal lain seperti Gaza, Sudan, Myanmar, pendirian Malaysia adalah berprinsip iaitu mengutuk sebarang bentuk keganasan kemanusian," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan