AM > BERITA

Sarawak Mungkin Singkatkan Tempoh Kelewatan Projek Sakit - Uggah

15/03/2025 06:54 PM

KUCHING, 15 Mac (Bernama) -- Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak mempertimbangkan kemungkinan memendekkan tempoh kelewatan "projek sakit" kepada 30 hari, kata Menteri berkenaan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata di bawah peraturan semasa yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR), tindakan hanya boleh diambil sekiranya projek yang diluluskan itu tidak dilaksanakan secara aktif hingga 100 hari.

"Kami mengadakan perbincangan dan merasakan tempoh 100 hari terlalu lama … jadi, kami cuba sedaya upaya untuk melihat bagaimana kita boleh mengurangkan ia kepada 30 hari sahaja," katanya kepada pemberita di Spaoh, Betong hari ini.

Beliau berkata langkah mengurangkan tempoh itu akan membolehkan JKR melakukan campur tangan awal dan menjimatkan banyak masa kerana kontraktor yang dianugerahkan projek terbabit, namun dilihat tidak melaksanakan projek dengan aktif hingga 30 hari mengikut jadual, jelas memperlihatkan ketidakcekapan mereka.

"Jadi, JKR dapat membuat keputusan penamatan. Hasrat kami bukanlah menyusahkan kontraktor, tetapi tugas kami ialah memastikan semua projek yang diluluskan mesti dilaksanakan mengikut jadual bagi mencapai objektif mereka," katanya.

Uggah berkata bilangan projek sakit di Sarawak telah berkurangan secara drastik, daripada lebih 100 kepada hanya dua projek sejak beliau mengambil alih kepimpinan kementerian itu sekali gus memberikan kesan kepada aktiviti ekonomi penduduk di projek-projek berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKR Sarawak akan mengambil 414 pegawai baharu untuk mengendalikan projek semakin bertambah yang bakal dilaksanakan di negeri itu, susulan petunjuk oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa belanjawan negeri mungkin mencecah RM20 bilion pada masa depan.

"Dengan bajet yang besar, jelas sekali terdapat keperluan untuk JKR meningkatkan atau menambah baik kapasiti dan keupayaan dalam proses pelaksanaan. Lagipun, masih ada jalan yang perlu dibina, dinaik taraf dan diselenggara di beberapa kawasan," katanya.

Terdahulu, Uggah melakukan upacara pecah tanah untuk menaik taraf Jalan Mara/Selangking/Nanga Sela/Tanjung Paoh yang menelan belanja sebanyak RM16 juta, serta jalan Spaoh bernilai RM20 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan