AM > BERITA

MBMB Wujudkan Bilik P-hailing Pertama Sebagai Ruang Rehat Di Dataran Pahlawan

16/03/2025 08:49 AM

MELAKA, 16 Mac (Bernama) -- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mewujudkan bilik p-hailing pertama di Dataran Pahlawan di sini dengan pelbagai kemudahan untuk digunakan pekerja sektor perkhidmatan penghantaran makanan atau barangan yang menggunakan motosikal.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata bilik p-hailing berkenaan boleh digunakan sebagai ruang istirahat bagi pekerja sektor itu sementara menunggu pesanan makanan atau barangan siap untuk dihantar kepada pelanggan.

Beliau berkata bilik p-hailing berkenaan dilihat dapat dimanfaatkan kira-kira 300 pekerja perkhidmatan yang beroperasi di sekitar pusat bandar Melaka.

"Pelbagai kemudahan disediakan dalam bilik p-hailing seperti penyaman udara, sofa, ruang solat serta tandas yang selesa untuk digunakan secara percuma.

"Bilik p-hailing tersebut diwujudkan untuk memberi ruang yang selesa kepada pekerja perkhidmatan itu berbanding menunggu pesanan di tepi jalan atau perhentian bas," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Santai sempena Sambutan Ulang Tahun ke-22 MBMB yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini.

Shadan berkata inisiatif mewujudkan bilik p-hailing itu adalah sebahagian daripada usaha MBMB untuk membantu dan memudahkan urusan penghantaran pekerja perkhidmatan berkenaan.

Sementara itu, Ab Rauf berkata lebih banyak bilik rehat untuk pekerja p-hailing di beberapa lokasi bersesuaian akan diwujudkan pada masa hadapan.

Beliau berkata inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pekerja p-hailing selain sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka menyumbang pada ekonomi negeri.

"Mungkin ada tiga lagi lokaliti yang kita akan wujudkan bilik p-hailing bergantung pada keperluan dan kedudukan lokasi berkenaan," katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, lebih 1,000 pengunjung meluangkan masa berbuka puasa dengan pelbagai juadah makanan dan minuman disediakan secara percuma.

MBMB turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM8,000 kepada empat persatuan beca di negeri itu selain bantuan berjumlah RM4,000 kepada Persatuan Rakan Penghantar Melaka dan Rumah Akhlak Bukit Baru. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan