AM > BERITA

Penduduk Taman Perumahan Ambil Inisiatif Gotong-royong Bakar Lemang Eratkan Ukhuwah

16/03/2025 11:44 AM

IPOH, 16 Mac (Bernama) -- Kira-kira dua minggu sebelum Syawal menjelma, penduduk Taman Desa Pelancongan 2 di sini mengambil inisiatif bergotong-royong membakar lemang dan memasak rendang untuk diagihkan sebagai juadah berbuka puasa.

Pengerusi Persatuan Penduduk Mohd Imran Hadiri berkata inisiatif dengan matlamat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat itu mungkin lari sedikit daripada kelaziman memasak bubur lambuk di bulan Ramadan.

"Kami mahu cipta kelainan sedikit, lalu tercetuslah idea buat lemang dan rendang ayam, kerana tahun lepas kami telah bergotong-royong agihkan bubur lambuk, tahun ini kita tukar kepada lemang dan rendang ayam hasil semangat yang dicetuskan penduduk di Lenggong sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Beliau yang ditemui Bernama di sini malam tadi berkata, program itu adalah bagi membawa semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk di taman berkenaan, memupuk ukhuwah serta mengeratkan silaturahim.

Program yang turut mendapat kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Gopeng, Pertubuhan Peduli Masyarakat MADANI Kuala Kangsar dan Pristine Dynamics Sdn Bhd itu menyaksikan 500 pek lemang dan rendang diagihkan dalam kalangan penduduk taman berkenaan.

Sementara itu Ketua Program Md Yusuf Ramli berkata proses membakar 200 lemang dan memasak rendang ayam dilakukan secara gotong-royong selama dua hari. 

"Proses membakar lemang bermula pada 10.30 malam dan siap sepenuhnya sekitar 4 pagi, manakala persediaan memasak rendang pula dilakukan pada 8.30 pagi melibatkan lebih 105 kilogram ayam.

"Juadah kemudian dibungkus serta diedarkan selepas solat Asar dan penduduk mendapatkan juadah ini dengan membawa kupon yang telah diedarkan sebelum ini, satu keluarga satu pek makanan," katanya. 

Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing yang turut serta dalam program berkenaan berkata, aktiviti seumpama itu perlu diteruskan supaya ia tidak dipinggirkan, terutamanya oleh generasi muda.

"Pada masa sama, ia dapat meneruskan semangat bergotong-royong antara penduduk taman yang jarang kita nampak begitu akrab dalam menjayakan sesuatu program,"katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan