AM > BERITA

MA63: Tafsiran Kuota Kerusi Parlimen, Pelantar Benua Dijangka Dimuktamad Mei Ini - Fadillah

16/03/2025 04:14 PM

KUCHING, 16 Mac (Bernama) -- Tafsiran perundangan antaranya melibatkan kuota kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak serta isu takrifan pelantar benua yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dijangka dimuktamadkan dalam Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada Mei ini.

 Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air berkata ia bagaimana pun perlu dibawa ke mesyuarat pengurusan tertinggi negara untuk diperhalusi terlebih dahulu.

Beliau berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kita akan bincang untuk dapatkan hala tuju, diharapkan akan ada keputusan…kalau tiada keputusan maka perlu ada langkah-langkah perundingan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Kem Ihya Ramadan di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak, di sini hari ini. 

Pada 13 Mac lepas, Fadillah dilapor berkata Kerajaan MADANI telah berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) setakat ini.

Sementara itu mengenai Kem Ihya Ramadan, Fadillah dalam catatan di platform X berkata ia suatu inisiatif yang berterusan dalam membentuk sahsiah remaja Muslim yang berakhlak mulia.

“Sejak diperkenalkan pada 2013, kem ini telah menjadi platform penting dalam pembentukan peribadi remaja melalui penghayatan Ramadan. Hati yang baik akan mendorong kita kepada perkara yang baik.

“Dalam era digital ketika ini, ramai anak muda telah berjaya menjadi usahawan dan pencipta kandungan melalui teknologi. Justeru, kita perlu memperkukuhkan hati, emosi dan mental agar setiap peluang yang ada dapat dimanfaatkan dengan ilmu dan kebijaksanaan,” katanya.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata beliau juga akan terus menyokong program-program yang menekankan latihan dan pendidikan, termasuk bagaimana teknologi seperti  kecerdasan buatan (AI) dan Data Raya (Big Data) yang boleh dimanfaatkan untuk pentadbiran serta kesejahteraan masyarakat.

“Semoga program seperti ini terus berkembang dan memberi manfaat yang berpanjangan,” katanya.

Program penutupan Kem Ihya Ramadan dihadiri Pengarah Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Zaizurina Mansor dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Amal Negeri Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kem Ihya Ramadan 2025 Wan Lukmanhakim Wan Sajali

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan