MELAKA, 15 Mac (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka akan terus memperkasakan Program Gerak Rahmah sebagai tapak integrasi dalam memperkukuh perpaduan kaum dan kehormanian komuniti di negeri ini.
Pengarahnya Intan Suhana Yusoff berkata usaha itu melibatkan 297 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan pelbagai program diatur termasuk “Jom Masak Bubur Lambuk Ramadan” yang dilaksanakan hari ini melibatkan 10 KRT dari Melaka Tengah dan Jasin.
"Acara tahunan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim malah menterjemahkan semangat muhibah melalui aktiviti goyong-royong memasak yang turut disertai pelbagai kaum," katanya kepada pemberita di Kampung Duyong di sini hari ini.
Terdahulu program itu disempurnakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem.
Intan Suhana berkata JPNIN Melaka juga akan mengadakan Minggu Perpaduan pada 4 April depan dengan mengetengahkan Kembara Perpaduan selain pelbagai aktiviti antaranya Semarak Perpaduan, Semarak Kenegaraan dan Komuniti Rahmah.
Sementara itu, program hari ini yang bertemakan tradisional melibatkan penduduk setempat, pelajar institusi pengajian tinggi dan jabatan serta agensi kerajaan.
Sebanyak 15 periuk bubur pelbagai jenis disediakan selain serahan Bakul Rahmah kepada setiap KRT untuk melaksanakan program di peringkat kawasan masing-masing dan agihan 4,000 bekas bubur lambuk kepada orang ramai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial