AM > BERITA

Dr Wan Azizah Santuni Golongan Kurang Berkemampuan Di Bandar Tun Razak

16/03/2025 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismai hari ini menyantuni golongan kurang berkemampuan di kawasan Parlimen itu dalam majlis berbuka puasa di Masjid Saidina Othman Ibn Affan, Cheras di sini.

Majlis berkenaan merupakan anjuran bersama Yayasan MRCB dan Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan kewangan daripada Yayasan MRCB kepada 1,100 penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal bagi meringankan beban kewangan mereka dalam persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, Pengerusi MRCB Datuk Mohamed Nasir Ab Latif dan Pengerusi Yayasan MRCB Datin Jasmine Abdullah Heng.

Dalam ucapannya, beliau yang juga isteri Perdana Menteri berkata umat Islam diseru menjadikan Ramadan sebagai medan mencari keberkatan, selain meninggalkan perkara serta kelakuan yang boleh mencetuskan perbalahan.

“Dalam bulan yang mulia ini, bukan sahaja mendidik diri menahan lapar dan dahaga tetapi kita didiklah diri merebut peluang mencari keberkatan. Jangan lakukan perkara yang jahat, buat khianat atau bergaduh.

“Sebaliknya, buatlah kebaikan, amalkan nilai ihsan dan rapatkan ukhuwah. Program ini juga satu lagi bukti kebersamaan dan nilai ihsan yang dibawa oleh Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, Jasmine berkata program berkenaan merupakan komitmen tahunan Yayasan MRCB dalam usaha memperkasakan komuniti yang menghadapi kesukaran.

“Ramadan melambangkan semangat memberi dan berkongsi rezeki. Justeru, Yayasan MRCB amat berbesar hati dalam menzahirkan nilai-nilai ini dengan memberikan sokongan penting kepada mereka yang memerlukan agar dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh keberkatan dan kegembiraan.

“Yayasan MRCB turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah kerana sudi hadir dan menyokong majlis iftar ini serta komitmen berterusan dalam memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Jasmine berkata sehingga kini Yayasan MRCB berjaya melaksanakan 118 program yang memberi manfaat kepada lebih 230,000 individu daripada golongan B40 melalui pelbagai inisiatif seperti pengagihan bantuan makanan, program pendidikan dan bantuan perubatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan