KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Laporan dan siaran berita oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) begitu signifikan kepada Istana Negara, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wira Zailani Hashim hari ini.
Beliau berkata Bernama merupakan antara organisasi media yang begitu rapat dan selalu memberi kerjasama kepada pihak Istana Negara.
“Sejak tahun lepas, kita di Istana Negara memang melakukan sumbangan bubur lambuk dan apabila Tuanku (Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim) masuk Istana Negara, serahan duit oleh Tuanku sendiri bertujuan bagi penyerahan kepada mana-mana organisasi yang begitu rapat dan selalu memberi sumbangan kerjasama dengan pihak Istana Negara.
“Itu menjadi titah Duli Tuanku sendiri, termasuklah di Bernama ini yang kita ketahui siaran pihak Bernama begitu signifikan kepada Istana Negara dan kepada Duli Tuanku sendiri. Kami berharap sumbangan kecil berbentuk bubur lambuk ini memberi satu impak kepada pasukan Bernama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mewakili Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyerahkan 250 pek bubur lambuk yang menggunakan resipi khas Istana Johor kepada petugas agensi berita nasional itu di Wisma Bernama di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus.
Zailani berkata sempena bulan Ramadan, pihak Istana Negara akan mengagihkan lebih 6,000 juadah bubur lambuk di lokasi terpilih yang diperkenankan Tuanku Sultan Ibrahim.
“Kita tukar-tukar, seminggu dua kali iaitu pada Selasa dan Khamis dengan setiap hari lebih kurang 750 juadah bubur lambuk. Pasukan istana hari ini mengedarkan bubur lambuk resipi Johor,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut menyumbangkan 300 pek makanan juadah berbuka puasa kepada petugas Bernama.
Pegawai Perhubungan Awam Kanan Unit Komunikasi Korporat KPWKM Norlida Mohd Ibrahim berkata sumbangan itu sebagai menghargai petugas Bernama yang banyak membantu menyiarkan berita berhubung aktiviti kementerian itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial