AM > BERITA

Formula 3P AKPK Bimbing Penggunaan BNPL Bertanggungjawab

17/03/2025 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memperkenalkan formula 3P - Purpose (Tujuan), Payment Capacity (Kapasiti Pembayaran), dan Payment History (Sejarah Pembayaran) untuk membimbing individu dalam membuat keputusan kredit bertanggungjawab terutamanya dalam pembiayaan jangka pendek seperti "Beli Sekarang Bayar Kemudian" (BNPL). 

 AKPK menerusi kenyataan hari ini menekankan bahawa agensi itu komited untuk memperkasakan individu dengan pengetahuan dan instrumen bagi menguruskan kewangan mereka secara lebih bertanggungjawab selain membantu mereka menilai kapasiti kewangan dan mengelakkan hutang berlebihan. 

 "Dalam aspek Purpose, AKPK menekankan kepentingan meminjam untuk tujuan berfaedah dan mampan bagi memenuhi keperluan yang memberikan faedah jangka panjang, berbanding memuaskan kehendak sementara atau pilihan gaya hidup remeh, sementara Payment Capacity membolehkan individu meminjam bergantung pada kemampuan sebenar dan bukan semata-mata berpandukan kelayakan ditawarkan institusi kewangan (atau skim BNPL dalam kes ini). 

"Soalan, seperti 'Berapa lama jangka masa pembayaran balik?' dan 'Adakah pendapatan saya stabil sepanjang tempoh kredit?', juga penting dalam menilai sama ada hutang boleh diurus. Oleh itu, individu harus menilai pendapatan, perbelanjaan dan kewajipan hutang sedia ada mereka untuk menentukan keupayaan membayar balik sebelum menggunakan skim BNPL," menurut kenyataan itu. 

Berhubung formula terakhir Payment HIstory, AKPK menegaskan kepentingan mengekalkan rekod pembayaran semula yang kukuh. Memastikan sejarah pembayaran yang baik dengan memenuhi semua kewajipan pembayaran dengan segera dan mengelakkan amaran daripada pemberi kredit, penting untuk mendapatkan syarat pembiayaan yang menguntungkan. 

Menurut kenyataan itu, AKPK mengakui potensi risiko dikaitkan dengan BNPL, dengan kemudahan pembelian boleh menyembunyikan implikasi kewangan jangka panjang, terutamanya selepas Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kepada Parlimen bahawa terdapat peningkatan hampir 45 peratus dalam transaksi BNPL dalam tempoh hanya enam bulan dari separuh pertama hingga separuh kedua 2024.

Mengulas isu berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata kajian agensi itu menunjukkan tiga daripada 10 pengguna, terutamanya mereka di bawah 40 tahun menunjukkan tabiat berbelanja kompulsif dan mengalami masalah kewangan lebih tinggi. 

"Pemerhatian ini konsisten dengan kajian AKPK, menunjukkan bahawa sebahagian besar pengguna menunjukkan kecenderungan berbelanja secara kompulsif. Walaupun penemuan kami mendedahkan bahawa kira-kira tiga daripada 10 pengguna menunjukkan kelakuan itu, kecenderungan dilihat lebih lazim dalam kalangan demografi lebih muda. 

"Hal ini menguatkan kajian kami berkaitan kewangan dan kesihatan mental yang mendapati individu di bawah 40 tahun mengalami tekanan kewangan lebih tinggi berbanding mereka dalam kumpulan umur lebih tinggi. Walaupun BNPL menyediakan pilihan kewangan berpotensi, kemudahan itu menyembunyikan kos sebenar," katanya. 

AKPK turut menasihati orang ramai supaya menggunakan BNPL hanya jika mereka boleh memenuhi tarikh akhir pembayaran bagi mengelakkan berlakunya caj lewat, caj faedah atau penalti kerana tidak membuat pembayaran dan kos berganda. 

Selain itu, AKPK menawarkan perkhidmatan nasihat kewangan percuma termasuk modul dalam talian dan menyediakan buku Realising Potential! Unleashing Your Financial Potential untuk membantu individu membuat keputusan dan menguruskan kewangan dengan bijak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan